Home Ekonomi Malaysia terima RM336 juta penyelesaian berkaitan 1MDB oleh Deloitte PLT

Malaysia terima RM336 juta penyelesaian berkaitan 1MDB oleh Deloitte PLT

logo 1mdb
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima bayaran sebanyak
RM336 juta (USD80 juta) yang telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) oleh Deloitte PLT.

Wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – telah menerima sebanyak RM16.386 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC. Baki itu tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dalam masa terdekat.

Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG.

Setakat ini, kerajaan telah melunaskan sebanyak RM12.54 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC. Setakat 31 Mei 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka adalah
sebanyak RM39.66 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).

“Baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja. Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB
memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh Kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang telah menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC serta mereka yang telah menerima wang SRC yang disamarkan sebagai aktiviti
kebajikan (CSR).

Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam
1MDB dan/atau SRC. – MalaysiaGazette