Home Nasional Tiga wanita Vietnam, empat lelaki tempatan dalang sindiket dadah dicekup

Tiga wanita Vietnam, empat lelaki tempatan dalang sindiket dadah dicekup

Rampasan esktasi dan ganja oleh polis KL daripada sindiket dadah didalangi warga tempatan dan wanita Vietnam selama empat bulan sekitar Lembah Klang yang akhirnya ditumpaskan di ibu negara baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket didalangi empat lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam menggunakan dua kondominium yang disewa sebagai tempat penyimpanan bekalan dadah terbongkar.

Lokasi sindiket itu beroperasi telah diserbu sekitarĀ  pukul 4 pada 1 Jun lalu oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur di dua kondominium berasingan di Taman Miharja dan Seri Kembangan, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon hari ini.

“Pemeriksaan di kedua-dua kondominium polis berjaya menangkap empat lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berumur lingkungan 23 hingga 32 tahun.

“Kondominium berkenaan di sewa oleh ahli sindiket dengan kadar RM1,500 sebulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, pemeriksaan lanjut di salah satu unit, polis telah berjaya merampas dadah yang disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 7.437 kilogram, 450 pil ekstasi, Ganja (15.14 gram) dan cecair MDMA (12,150 mililiter / 12.15 liter).

Menurutnya, turut dirampas sebuah kenderaan jenis Perodua Axia, sebuah kenderaan Volkswagen Passat dan wang tunai RM4,481.

“Polis telah menjalankan ujian saringan awal urin dan semua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” ujarnya.

Kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sehingga 7 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan dan warganegara asing yang dikesan aktif selama empat bulan di sekitar Lembah Klang.

“Keseluruhan dadah yang di rampas boleh dibekalkan kepada 7,950 orang pengguna (user) dadah dan nilai keseluruhan rampasan dadah adalah berjumlah RM462,462.85,” tegasnya.-MalaysiaGazette