JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengenakan sekatan keluar masuk kepada semua pelajar di kampus Johor Bahru, bermula esok hingga 14 Jun meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus itu yang bermula sejak 21 Mei lepas, tamat hari ini.
UTM menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook memaklumkan sekatan itu bagi memastikan usaha memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 dapat terus dilaksanakan dan langkah sama sudah dilaksanakan di kampus Kuala Lumpur sejak 1 Jun lepas hingga 14 Jun ini.
Menurut UTM, pergerakan pelajar dalam kawasan kampus adalah dibenarkan kecuali bagi para pelajar yang sedang menjalani proses kuarantin diri di Blok S46/47.
UTM berharap seluruh warga universiti itu memahami keadaan semasa dan terus menyokong segala usaha dalam memastikan kawasan universiti kembali menjadi kawasan zon hijau dan selamat didiami. – MalaysiaGazette