Home Seni Hidup Wanita 100 tahun tenang ketika terima suntikan vaksin Covid-19

Wanita 100 tahun tenang ketika terima suntikan vaksin Covid-19

Yoke Larn kelihatan tenang sebaik selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di pusat jagaan di Jalan Barrack di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Usianya sudah seabad, namun penghuni wanita tertua Rumah Jagaan Agileness Nursing Home Jalan Barrack, di sini kelihatan tenang ketika menerima vaksin Covid-19 hari ini.

Malah, ketika berada dalam pemantauan, See Thoe Yoke Larn sempat memberi reaksi dirinya okay selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.

Yoke Larn  antara 24 penghuni pusat jagaan berkenaan yang menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain mereka, sembilan kakitangan pusat jagaan itu turut menerima vaksin daripada petugas KKM dari Klinik Kesihatan Jalan Perak dan Sungai Dua.

Sebahagian warga emas menunggu giliran menerima suntikan vaksin di pusat jagaan di Jalan Barrack di sini hari ini.

Pengerusi pusat jagaan tersebut, Loh Siew Moi berkata, Yoke Larn mengetahui mengenai pandemik dan kepentingan vaksin menerusi akhbar.

Jelasnya, warga emas itu juga bersemangat sebaik mengetahui dirinya bakal menerima suntikan pencegahan Covid-19.

“Pertuturan ibu kepada tiga anak itu kurang jelas, namun penglihatannya masih baik.

“Yoke Larn gemar membaca surat khabar pada waktu terluang dan daripada situ dia mengetahui tentang kepentingan vaksin,” katanya sambil menambah warga emas itu sudah mendiami pusat jagaan tersebut sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Jalan Perak, Dr P. Ramesvari berkata, inisiatif KKM ‘turun padang’ bagi memberi vaksin kepada warga emas di pusat jagaan warga emas sudah dilakukan sejak 21 Mei lalu.

Katanya, pihaknya sudah menerima pendaftaran daripada 80 pusat jagaan warga emas di daerah itu dan 54 daripadanya sudah menerima vaksin.

“Program ini akan dilaksanakan sehingga 30 Jun depan atas beberapa faktor termasuk golongan penerima vaksinasi tidak mampu dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin.

“Selain itu, kebanyakan warga emas sudah maklum dengan pandemik dan program imunisasi itu menerusi penjaga pusat jagaan, keluarga dan kempen yang dijalankan di media massa,” katanya. – MalaysiaGazette