KUALA LUMPUR – Pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui dia terkejut dengan kekalahan besar 0-4 Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pertama baki Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, awal pagi tadi.
Malah dia tidak menyangka kali pertama skuad kendalian kalah dengan jaringan begitu besar dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.
“Kami tidak beraksi secara berpasukan ketika bertahan dan kita tahu disebabkan oleh gerakan-gerakan serangan balas pantas UAE.
“Namun mereka cepat menutup ruang dan kami memberikan ruang kepada mereka untuk diambil kesempatan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.
Harimau Malaya dibolosi tiga gol dibolosi dalam tempoh 11 minit terakhir seolah-olah memberikan satu gambaran lubuk yang berjaya ditemui oleh pasukan UAE ketika berdepan skuad kebangsaan.
Cheng Hoe memberitahu, beberapa kelemahan mengenai perlawanan yang mungkin menjadi fokus beliau dan barisan kejurulatihan dalam memburu tempat ke pusingan seterusnya.
“Saya pasti pemain-pemain kecewa dengan kekalahan dengan jaringan besar malam ini. Saya percaya mereka telah memberikan yang komitmen terbaik tetapi masih belum cukup untuk mendapatkan keputusan yang positif.
“Kami tahu pasukan UAE lebih baik dan kami sepatutnya bermain dengan lebih konsisten dalam perlawanan, lebih fokus dalam setiap serangan. Di bahagian pertahanan kami tidak berjaya mengekang pemain nombor 7 terutamanya, dia bermain dengan baik.”
“Saya harap kami akan bangkit dalam perlawanan berikutnya,” katanya.
Bercakap mengenai peluang untuk pasukan Malaysia layak ke pusingan seterusnya, Cheng Hoe menjelaskan pemain-pemainnya masih optimis dan positif untuk perlawanan seterusnya.
“Kami mempunyai masa beberapa hari untuk mempersiapkan pasukan bertemu Vietnam.
“Saya percaya, selepas perlawanan berdepan UAE ini, kami telah belajar dan menerima pengajaran yang sangat berguna dengan mengetahui kekuatan dan kelemahan, saya harap kita akan dapat keputusan yang positif dengan Vietnam.”
Tan Cheng Hoe turut memberitahu beliau sedar ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo melihat perlawanan malam ini dan melakukan analisis rapi menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya tahu Vietnam juga memiliki skuad yang kuat dan dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga kami tidak berjaya merekodkan keputusan yang baik berdepan mereka.
“Kali ini saya harap pemain-pemain saya dapat mempamerkan aksi yang mereka sebenarnya mahu bermain.”
UAE, Thailand dan Malaysia ketika ini terikat dengan sembilan mata dan peluang untuk mara ke pusingan berikutnya masih terbuka untuk keempat-empat pasukan. – MalaysiaGazette