SHAH ALAM – Kematian seorang pemandu lori di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan ketika dalam tahanan polis berpunca daripada tindakannya sendiri yang cuba melarikan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kejadian semalam, kira-kira jam 1.50 petang, Umar Faruq Abdullah, 36, bertindak menolak pegawai penyiasat sebelum terjun dari aras dua balai berkenaan.
“Semasa pegawai penyiasat kes sedang mengiringi si mati untuk dihantar ke lokap dari pejabatnya, ketika menurun tangga, dari tingkat dua ke tingkat satu.
“Pada masa itu, si mati dalam tahanan bertindak menolak pegawai penyiasat berkenaan dan dalam masa bertindak melarikan diri ke arah tingkap di tangga yang terbuka seterusnya terjun ke bawah.
“Dia telah jatuh di atas sebuah motosikal yang berada di parkir di atas tar balai berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Semalam, seorang pemandu lori meninggal dunia dalam tahanan di IPD Klang Selatan selepas terjun dari aras dua balai berkenaan ketika ditahan untuk soal siasat.
Laporan awal menyatakan kematiannya “akibat kecederaan teruk pada muka.”
Dia ditahan Selasa lalu berhubung kes curi tong gas dan direman empat hari bagi membantu siasatan.
Menurut laporan awal polis, Umar Farouk yang tangannya digari di belakang badan dibawa turun dari aras tiga bangunan itu ke tingkat pertama selepas percakapannya selesai dirakam.
Bagaimanapun, ketika berada di aras dua dia bergelut dengan seorang anggota polis sebelum terjun dari tingkap di kawasan tangga.
Menurut Arjunaidi, kejadian itu menyebabkan Umar Farouk mengalami kecederaan di bahagian muka dan keretakan tempurung kepala.
“Kecederaan lain bergantung kepada pengesahan yang akan diberikan selepas bedah siasat yang akan dibuat selepas ujian saringan Covid-19, petang ini,” katanya.
Susulan kejadian itu, IPK Selangor mengambil alih kes kematian dalam tahanan itu daripada IPD Klang Selatan serta-merta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 223, iaitu di mana penjawat awam dengan cuai membiarkan seorang tahanan lari daripada pengurungan dan membolehkan apa-apa tindakan di bawah seksyen yang sepatutnya diambil tindakan.
“Kertas siasatan juga laporan mati mengejut seperti mana biasa turut dibuka secara selari dengan menentukan punca kematiannya.
“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor,” katanya.
Jelasnya, siasatan itu akan lebih fokus kepada aspek pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), kecuaian dan tanggungjawab.
“Pegawai penyiasat berpangkat sarjan itu telah ditukarkan serta-merta daripada tugas aktif, sementara menunggu hasil siasatan. Seterusnya tindakan-tindakan akan diambil bergantung kepada apa hasil siasatan yang akan kita perolehi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette