KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam perancangan menggubal ordinan bagi mengambil tindakan terhadap golongan antivaksin.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, keperluan itu dirasakan perlu memandangkan terdapat kempen yang digerakkan golongan itu yang menganjurkan rakyat negara ini menolak vaksin Covid-19.
“Kaji kenakan tindakan terhadap golongan antivaksin untuk melihat bahawa semua orang sedar tentang penemuan saintifik terhadap vaksin.
“Kalau boleh tindakan terhadap golongan anti-vaksin akan dijadikan akta ordinan pada kali ini,” katanya kepada media hari ini selepas mengadakan lawatan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di sebuah pasar raya di ibu negara hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Malah kerajaan juga telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, buat masa ini kerajaan tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap golongan yang menolak vaksin namun mereka tidak boleh menghasut masyarakat untuk turut sama menolak pengambilan vaksin Covid-19.
“Kalau mereka tidak mahu ambil vaksin, itu masalah mereka tapi mereka buat kempen untuk orang tidak ambil vaksin itu jadi masalah kita. Kita nak capai imunisasi berkelompok,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, kempen antivaksinĀ memberi kesan negatif kepada usaha kerajaan untuk mendapatkan imunisasi kelompok.
Katanya, sekiranya negara mencapai imunisasi kelompok maka semua aktiviti ekonomi dan sosial boleh beroperasi semua seperti sediakala.
“Bila mereka lakukan kempen seperti ini, dia beri perasaan yang tidak senang kepada rakyat seolah-oleh banyak yang kerajaan buat tidak betul. Saya sebagai Menteri Dalam Negeri nak pastikan penguatkuasaan ini dan SOP yang ada.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
K’jaan kaji kenakan tindakan ke atas golongan antivaksin – PM Muhyiddin