KUALA LUMPUR – Masyarakat diseru menyumbang dan membantu golongan yang kurang bernasib baik bukan sahaja pada Ramadan sahaja tetapi setiap masa.
Apatah lagi, ketika pandemik ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, pasti ada golongan yang terdesak dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Menyedari senario itu, Parti Perikatan India Muslim Nasional atau IMAN tetap meneruskan aktiviti-aktiviti kebajikan mereka selepas Ramadan lalu dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.
Presidennya, Datuk Mohamed Mosin Abdul Razak berkata, biarpun menyedari berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19, IMAN menerusi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tetap cekal dan bersemangat tinggi untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.
“Selepas program Ramadan lalu, kami meneruskan program kebajikan yang mensasarkan bantuan kepada golongan ibu tunggal, warga emas, golongan kelainan upaya dan keluarga kurang berkemampuan.
“Turut dibantu keluarga mualaf, keluarga mualaf, Orang Asli dan keluarga yang tidak mempunyai pendapatan akibat terkesan dari pandemik Covid-19.
“Sebanyak 5,000 bungkusan berupa barangan dapur telah diagihkan kepada keluarga-keluarga dan individu-individu yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Ramadan lalu, IMAN telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Bersama IMAN Semarakkan Ramadhan menerusi Iftar Ramadan menerui satu pasukan khas yang terdiri dari 50 anak-anak muda mewakili IMAN Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Lebih 7,500 pek makanan untuk berbuka puasa telah diagihkan kepada warga emas, keluarga kurang berkemampuan dan golongan gelandangan di sekitar ibu kota dan bandar di sekitar Selangor.
IMAN turut menyantuni para petugas barisan hadapan di hospital-hospital dan pasukan polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).
Mengulas lanjut, Mohamed Mosin memberitahu, IMAN bersyukur kerana ramai golongan dermawan yang sudi menaja barangan dan wang tunai dalam meneruskan program kebajikan mereka secara berterusan walaupun selepas Ramadan.
“IMAN berbesar hati dan bertuah kerana telah menjadi pilihan para dermawan yang budiman bagi menggalas amanah yang diberi dengan penuh rasa tawaduk dan bertanggungjawab apabila berjaya mengagihkan kesemua bantuan berupa barangan dan wang tunai.
“Semoga usaha kita semua menjadi asbab kebaikan dunia dan akhirat,” katanya.
IMAN merupakan sebuah sebuah parti politik yang ditubuhkan dua tahun lalu dalam usaha menjadi pemangkin penyatuan, pembangunan dan kemajuan komuniti India Muslim Malaysia. – MalaysiaGazette