Home Ekonomi MPOB hasilkan baja tingkat pengeluaran buah sawit

MPOB hasilkan baja tingkat pengeluaran buah sawit

Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menghasilkan inovasi formulasi baja yang mengandungi nutrien seimbang bagi meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, inovasi baja sebatian yang dikenali MPOB F3 dalam bentuk butiran padat dan diformulasi dengan nisbah seimbang nitrogen, fosfat, kalium, magnesium dan borate yang dirumus khas untuk pokok sawit yang ditanam di tanah mineral.

Katanya, formulasi baja MPOB F3 itu mengandungi nutrien seimbang sesuai untuk kelapa sawit yang ditanam di pelbagai jenis tanah.

“Pokok sawit perlu pembajaan yang sempurna termasuk kandungan nutrien seimbang untuk pengeluaran hasil yang tinggi.

“Walaupun keperluan nutrien adalah khusus mengikut keadaan setempat, penggunaan nisbah nutrien yang seimbang dalam baja sebatian akan memberikan input nutrien yang bersesuaian pada lokasi yang berbeza.

“Penggunaan baja secara sistematik akan meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit dan menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi pengusaha ladang dan pekebun kecil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Parveez memberitahu, penggunaan baja MPOB F3 dapat menjimatkan kos kerana berupaya mengurangkan kehilangan nutrien dan meningkatkan keupayaan pengambilan nutrien oleh akar pokok.

Jelasnya, pengenalan formulasi baja seimbang itu dapat mengurangkan kesan negatif persekitaran yang berkaitan dengan kadar penggunaan baja yang berlebihan, penurunan kualiti tanah dan pencemaran daripada logam berat.

Penyelidikan formulasi baja seimbang bermula sejak tahun 1990 dan pemilihan bahan mentah sebagai sumber baja untuk formulasi adalah berdasarkan keberkesanan kos, konsistensi kandungan nutrien, sesuai untuk pengadunan dan penyebatian, katanya.

Tambah beliau, rumusannya merangkumi perapi atau zeolite untuk meningkatkan pemulihan nutrien oleh tanaman sawit.

“MPOB telah menandatangani perjanjian dengan FGV Fertiliser Sdn Bhd bagi pengkomersialan baja MPOB F3.

“Majlis penyerahan dokumen perjanjian antara MPOB dan FGV Fertiliser Sdn Bhd telah disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi semasa Majlis Pra Pelancaran Webinar TOT 2021 pada April lalu,” katanya. – MalaysiaGazette