Home Utama Pengurus Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia positif Covid-19

Pengurus Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia positif Covid-19

Muhammad Rafieudin Zainal Rashid. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Selama ini, kudrat inilah yang menguruskan jenazah. Tidak mengira siang atau malam – semuanya dilakukan dengan seikhlas hati.

Dengan satu niat kerana Allah, beliau menguruskan semua jenazah termasuk pesakit Covid-19 tanpa pernah mengeluh malah bersyukur diberi kesihatan yang baik setiap kali mengendalikannya.

Namun Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rashid hari ini telah disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah.

“Pagi ini dukacita dimaklumkan saya mendapat keputusan ‘swab test’ mengatakan saya positif Covid-19.

“Ia susulan kondisi kesihatan badan saya kurang stabil dengan peningkatan suhu badan, rasa sakit urat badan dan kepala. Badan lemah tidak bermaya. Selera makan berkurangan,” katanya.

Sebelum ini, Ustaz Rafie yang juga dikenali sebagai Undertaker sering memperjuangkan isu berkaitan pengurusan jenazah dan tanah perkuburan hingga mendapat perhatian pihak berwajib termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Mohon semua doakan saya. Mohon maaf kepada semua atas kekurangan, salah silap terkasar bahasa, mohon halalkan makan minum dan jika ada hutang yang masih belum saya jelaskan tuntutlah segera dengan saya selagi hayat masih ada ini.

“Jaga diri semua. Kita belum menang dan kita juga belum kalah. Saya ingin berehat dulu. Teruskan perjuangan saya walaupun seandainya selepas ini saya tiada,” tulisnya lagi.- MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

MGNews: Waris ‘Mengamuk’ Antara Cabaran SPJM Urus Jenazah Covid-19