Home Nasional Aksi tular mat rempit makan diri

Aksi tular mat rempit makan diri

KUANTAN – Gara-gara aksi berbahaya sekumpulan tujuh remaja menunggang motosikal di jalan raya di sini tular – mereka akhirnya dicekup polis.

Kesemua mereka ditahan dalam Operasi Khas Samseng malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketujuh-tujuh lelaki tempatan berusia 15 hingga 27 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Penahanan itu selepas polis mengesan beberapa individu yang tular di media sosial kerana berlumba dengan aksi berbahaya jalan susur Kuantan menghala ke Terminal Sentral Kuantan.

“Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis semalam dan mendapati aksi mereka menunggang motosikal secara berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka menggunakan motosikal jenama jenis Yamaha Skuter Avantiz dan Solariz dan rata-rata mereka tidak mempunyai lesen.

“Video tular mempamerkan aksi dipercayai berlaku pada 30 Mei lalu dan hasil risikan yang dijalankan, tujuh lelaki berusia 15  hingga 27 tahun berjaya ditahan bersama motosikal terlibat dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Noor berkata, walaupun pihaknya sudah banyak kali menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang terutama semasa penularan Covid-19 namun masih ada yang berdegil.

Justeru polis tidak akan berkompromi dengan kesalahan sedemikian dan mereka akan berdepan dengan tindakan tegas mengikut undang-undang, – MalaysiaGazette