KUALA LUMPUR – Masyarakat perlu merebut peluang diberikan kerajaan dalam usaha mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini.
Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, sasaran itu sukar dicapai sekiranya masyarakat masih dibelenggu maklumat palsu yang menakut-nakutkan untuk mendapatkan vaksinasi.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, masih ramai yang tidak mahu mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
“Janganlah terpengaruh sama sekali dengan dakwaan, dakyah, pandangan atau maklumat palsu walaupun datangnya daripada orang tertentu kerana sumber yang paling sahih mengenai vaksin untuk dirujuk ialah Kementerian Kesihatan atau Majlis Keselamatan Negara serta badan yang diberikan mandat oleh kerajaan.
“Pandangan selain daripada pihak berkenaan perlu disemak walaupun yang berlatarbelakangkan agama kerana tidak mahu timbul keraguan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang seterusnya skeptikal dan tidak mahu divaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penyebaran maklumat palsu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang membantutkan usaha kerajaan memberikan vaksinasi kepada rakyat hari ini.
Baru-baru ini, terdapat beberapa individu yang didenda mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat atas dakwaan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang ramai dengan mengadakan penerbitan mengandungi berita tidak benar.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu berikan kepercayaan penuh terhadap usaha dijalankan kerajaan.
Beliau berkata, tidak perlu memilih jenis vaksin kerana semuanya sudah dipastikan selamat oleh KKM dan jumlahhya juga akan ditambah seperti diumumkan kerajaan.
Katanya, matlamat utama vaksinasi dijalankan ialah supaya masyarakat kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala sama seperti beberapa negara yang mana tahap vaksinasinya lebih 80 peratus dan sudah tidak perlu memakai pelitup muka.
“Perkembangan terkini menunjukkan negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Korea Selatan, malah China merekodkan penurunan ketara kes Covid-19 selain peningkatan tinggi dalam vaksinasi.
“Jika kita tidak menyokong usaha kerajaan walaupun banyak inisiatif telah dijalankan, maka matlamat memulihkan kembali negara dalam aspek kesihatan, ekonomi, sosial akan menghadapi kesukaran,” katanya. – MalaysiaGazette
Ko tak payah lah bg komen…komen ko ni memalukan komuniti akademik…rakyat bukan terpengaruh dgn dakyah anti vaksin lah bebal…masalahnya rakyat menunggu berbulan2 vaksin tak ada…koordinasi kelam kabut…lg ko nak salahkan rakyat! Ko jgn sama kan Malaysia dgn UK, US, Europe..rakyat mereka mudah dapar vaksin kerana sistem penyampaian kerajaan yg cemerlang…tak de kena mengena dengan sikap anti vaksin! Mcm mana laaa ko ni boleh jd KP MQA? dangkal sungguh!!!