KUALA LUMPUR – Facebook menggantung akaun bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk tempoh dua tahun kerana melanggar peraturan platform itu dalam insiden serangan penyokongnya di Capitol AS awal tahun ini.
Laman sosial itu dalam satu hantaran berkata, penggantungan bermula dari 7 Januari lalu.
Awal tahun ini, Facebook melarang Trump daripada menggunakan media sosial itu dan dibuat selepas panel pemantau bebas mendapati penggantungan selama-lamanya yang dikenakan perlu diteliti semula.
Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg menjelaskan, Trump perlu dikenakan tindakan tegas kerana kesalahan dilakukannya adalah amat serius.
“Kami percaya tindakannya melanggar peraturan kami dan wajar dikenakan penalti maksimum di bawah penguatkuasaan protokol baharu berdasarkan tahap keseriusan situasi yang membawa kepada penggantungan Trump,” katanya dalam satu hantaran.
Dalam kemas kini peraturannya, Facebook memaklumkan tidak lagi memberi imuniti kepada ahli politik untuk memuat naik kandungan yang mengelirukan atau kata-kata kesat di media sosial itu.
Menurut Clegg, pada penghujung tempoh penggantungan Trump, Facebook akan meminta beberapa pakar menilai sama ada aktiviti bekas Presiden AS itu masih memberi ancaman kepada keselamatan awam.
Bulan lalu, panel pemantau bebas memaklumkan Facebook berhak menggantung Trump susulan komen berhubung tindakan penyokongnya yang merusuh di Capitol AS pada 6 Januari lalu, namun Facebook tidak sepatutnya mengenakan penggantungan selama-lamanya.
Dalam satu kenyataan, Trump menyifatkan penggantungan itu satu penghinaan kepada penyokongnya dan mengulangi dakwaan kononnya pilihan raya Presiden AS tahun lalu ‘dirompak’ daripadanya. – MalaysiaGazette