Home Nasional PS 21 Capsule dikesan mengandungi racun berjadual Simvastatin

PS 21 Capsule dikesan mengandungi racun berjadual Simvastatin

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah clinical trials National Healthy Research Volunteer Register National Pharmaceutical Regulatory Agency NPRA
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional PS 21 Capsule yang dikesan mengandungi racun berjadual, Simvastatin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk terbabit telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) berikutan pengesanan racun berjadual berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Menurut beliau, Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot.

“Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham menegaskan, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Tambahnya, orang ramai yang sedang menggunakan produk terbabit dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Ujarnya, Maklumat status pendaftaran bagi sesuatu produk boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – MalaysiaGazette