Home Nasional Tak reti guna MySejahtera punca ramai rakyat Kelantan tak hadir suntik vaksin

Tak reti guna MySejahtera punca ramai rakyat Kelantan tak hadir suntik vaksin

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sempat beramah mesra dengan sebahagian penduduk ketik hadir untuk melihat proses pelaksanaan Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PA Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera serta merasakan pengambilan vaksin bukan satu perkara yang perlu disegerakan menjadi penyebab kira-kira 10,000 penerimanya di Kelantan tidak hadir temu janji.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengetahui punca itu selepas membuat tinjauan bagi mengetahui kenapa rakyat di negerinya itu tidak hadir proses vaksinasi meskipun nama mereka telah tersenarai sebagai penerima.

“Daripada tinjauan yang saya buat tidak hadir itu ada banyak sebab antaranya anak-anak mereka yang key in, emak dan ayah yang ada telefon tidak reti hendak buka MySejahtera.

“Jadi, bila dapat tarikh temu janji dia tak tahu. Itu antara beberapa punca yang kita dapatilah…yang keduanya mereka sendiri merasakan benda itu tidak urgent, hanya setelah kes di Kelantan melonjak banyak barulah tiba-tiba dia nak dapatkan vaksin,” katanya kepada media selepas meninjau Program Saringan Komuniti Bersasar (RTK-Antigen) di Perumahan Awam Seri Sabah 3A, Bandar Tun Razak sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu diminta mengulas mengenai laporan berhubung kira-kira 10,000 penduduk Kelantan tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin fasa kedua di 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri itu, baru-baru ini.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), kebanyakan daripada individu yang tidak hadir itu terdiri daripada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas selain ramai yang memberi alasan kerana mempunyai masalah peribadi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, keadaan itu telah dapat diatasi selepas beliau sendiri membuat satu rakaman berkaitan kepentingan vaksinasi Covid-19 yang kemudian ditularkan.

Katanya, kesan daripada video tersebut beliau melihat ia mendapat sambutan sangat positif daripada penduduk Negeri Cik Siti Wan Kembang sendiri hingga ada antaranya yang membuat panggilan telefon kepadanya bagi mengetahui lebih lanjut berhubung perkara itu.

Malah, perkara sama turut dilakukan oleh beberapa tokoh dari Kelantan yang membuat seruan agar rakyat di negeri berkenaan memberi keutamaan untuk menerima vaksin hingga keadaan ketidak hadiran ke Pusat Pemberian Vaksin dapat diperbaiki. – MalaysiaGazette