Home Seni Hidup Tugas mulia Rosli bantu kebumikan pesakit Covid-19

Tugas mulia Rosli bantu kebumikan pesakit Covid-19

Roslee Ali yang mesra disapa dengan panggilan Acik menggali liang lahad khas jenazah Covid-19 tanpa lelah dan terus komited dengan kerjanya itu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pada usia 63 tahun biasanya seseorang itu tidak lagi mahu melakukan kerja berat apatah lagi jika tugas itu secara sukarela.

Namun ia tiada dalam kamus kehidupan Rosli Ali yang berkhidmat sebagai seorang penggali kubur sukarela Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh di sini sejak 10 tahun lalu.

Bersama-sama petugas barisan hadapan, beliau bersama-sama bermandi keringat memastikan pengebumian jenazah termasuk pesakit Covid-19 disempurnakan dalam apa sekalipun situasinya.

Berkongsi pengalaman, warga emas yang mesra disapa sebagai Acik itu mula berkhidmat sebagai penggali kubur selepas isterinya meninggal dunia.

“Sejak itu, saya terus menjadi penggali kubur kerana sudah sekian lama saya minat buat kerja-kerja sebegini. Apabila ada kematian di kawasan ini pasti saya akan menghulurkan bantuan sehinggalah menurunkan jenazah ke liang lahad,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Penggali kubur diwajibkan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika mengendali pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JUN 2021

Bercerita lanjut mengenai pengendalian jenazah Covid-19, Rosli berkata, kesemua petugas tanah perkuburan diminta mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

Jelas Rosli, SOP tersebut bagi mengelak petugas daripada dijangkiti pandemik.

“Buat masa ini tidak pernah lagi saya rasa hendak pengsan atau pun pitam ketika menyarung PPE walaupun cuaca panas terik kerana niat saya hanya satu iaitu mahu menolong orang.

“Pada saya, tidak ada masalah sama ada individu itu tua atau pun muda yang pentingĀ  keinginan hati mereka untuk menjalankan tanggungjawab.

“Sesiapa sahaja yang ingin secara sukarela menjadi seorang penggali kubur, usahlah takut kerana kerja ini memang nampak kotor namun hakikatnya kita sedang berbakti kepada mereka yang telah meninggal dunia,” ujarnya.

Penggali kubur memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ketika melakukan kerja-kerja menimbus liang lahad jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JUN 2021

Dalam pada itu, Rosli berkata, hampir 200 jenazah yang dijangkiti Covid-19 telah dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Kata Rosli, kadangkala ia membabitkan tiga hingga empat pengebumian jenazah dalam masa sehari.

Untuk rekod, Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah berada di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. – MalaysiaGazette