KUALA LUMPUR – Tafsiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai status Facebook Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam isu ‘tutup pintu’ ternyata terpesong daripada fakta.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir menegaskan, status Menteri Kanan Pertahanan berhubung isu kontroversi itu disalahtafsir oleh Mahathir.
“Komen bekas Perdana Menteri (PM) itu yang mengaitkan ‘kerajaan pintu belakang’ tidak lagi relevan kerana apa yang penting kerajaan sekarang telah disokong oleh ahli Parlimen yang yakin akan kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui negara ketika ancaman pandemik Covid-19.
“Apa-apa pun, tafsiran yang dibuat terhadap ungkapan itu, jelas mencerminkan kekesalan dan kekecewaan beliau sekali gus menunjukkan ketidakmatangan sebagai bekas PM.
“Kita tidak harus hairan dengan segala tanggapan dan tafsiran yang dibuat Dr. Mahathir mengenai kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini terutamanya selepas beliau tidak lagi menjadi PM sesudah kejatuhan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Mahathir dilaporkan keliru dengan hantaran status Facebook Ismail Sabri berkenaan ‘tutup pintu depan’ yang mengundang spekulasi ramai.
Mahathir tidak dapat mengenal pasti mengenai pintu yang dimaksudkan Ahli Parlimen Bera itu.
Bagaimanapun Ismail Sabri menyatakan tiada sebarang maksud tersirat di sebalik kenyataan tersebut melainkan mahu pulang selepas selesai waktu kerja.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, bekas pemimpin PH itu dikenali sebagai pemimpin yang sering menggunakan logiknya sendiri untuk memenuhi agenda peribadi atau partinya.
“Ungkapan Ismail Sabri itu berlapik, ada makna dan mesej lain yang cuba dihantarnya. Dalam konteks komunikasi politik, ungkapan itu bukan dibuat sesuka hati, apatah lagi apabila kata-kata itu disertakan dengan gambar.
“Seorang pemimpin politik tidak mungkin mengungkap sesuatu sesuka hati malah kadang-kadang mereka menyampaikan mesej atau maksud dengan berpegang kepada peribahasa, pukul anak sindir menantu,” katanya. – MalaysiaGazette