SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh pihak kerajaan, banyak kes percubaan dan bunuh diri telah dilaporkan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak polis, sebanyak 266 kes percubaan bunuh diri dan bunuh diri telah dilaporkan bermula 18 Mac 2020 hingga 30 Oktober 2020. Dalam masa kurang lapan bulan, 266 kes dilaporkan merupakan satu jumlah yang amat membimbangkan.
Pada tahun ini pula, berita-berita tentang kes bunuh diri semakin rancak menghiasi
paparan media. Tanggal 21 April 2021, Malaysia digemparkan dengan insiden seorang lelaki telah terjun dari tingkat 3 di Suria KLCC. Manakala pada 22 April 2021 pula, kita dikejutkan dengan kes bunuh diri oleh seorang pelajar IPT. Kes bunuh diri dua hari berturut-turut itu pastinya mendatangkan kebimbangan kepada kita.
Terdapat juga beberapa kes lain yang dilaporkan seperti menggantungkan diri di kipas syiling, melemaskan diri dalam kenderaan sendiri dan terjun dari bangunan yang tinggi, persis sinetron yang ditonton dalam kaca televisyen. Namun, kejadian ini bukanlah lagi drama 12 episod yang ditayangkan di TV3, tetapi kejadian ini adalah benar terjadi di dunia realiti. Sanggupkah kita biarkannya berterusan begini?
Persoalan lainnya, adakah kita sedar dan cakna tentang apa yang telah terjadi dalam dunia semasa kini? Atau kita masih lagi bermimpi di alam fantasi? Sesungguhnya masyarakat kita sedang tenat dan perlukan ‘ubat’. Atau, adakah kita rela melihat atau mendengar saban hari berita kes bunuh diri ini menghiasi kehidupan ini?
Umum sedia maklum, semasa PKP 1.0 dilaksanakan, banyak pihak yang terjejas
dari segi pendapatan dan emosi. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang tidak dapat bekerja secara harian disebabkan PKP sekali gus mengurangkan sumber pendapatan dan terdapat juga yang dikurangkan gaji disebabkan syarikat/premis tidak dapat beroperasi seperti biasa. Walau bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan. Disebabkan beberapa faktor itulah, rakyat dihimpit dengan tekanan yang maksimum hingga perkara yang tak diingini terjadi.
Selain ekonomi, pendidikan juga adalah antara sektor yang terjejas. Apabila PKP
diumumka,n sekolah juga perlu ditutup dan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah
(PdPR) dilaksanakan. Bagi keluarga yang tidak mempunyai alat peranti yang cukup, keadaan ini amat membimbangkan. Ditambah pula dengan keadaan rumah yang kecil dan tiada ruang privasi pasti memberikan tekanan kepada setiap individu dalam keluarga tersebut.
Selain pelajar sekolah, pelajar IPT juga turut terkesan apabila diperintahkan untuk
berkurung. Kehidupan yang sebelum ini bebas ke mana sahaja terpaksa ditinggalkan. Pastinya emosi mereka terganggu akan perubahan yang berlaku secara tiba-tiba. Tekanan yang dialami rakyat berlanjutan sehingga kini. Mana tidaknya, kerajaan dilihat tidak serius dalam menangani isu pandemik yang melanda.
Sehingga hari ini tidak ada satu perancangan khusus yang dibincang dan dibuat untuk setiap sektor. Contohnya, sampai hari ini tiada lagi pelan pendidikan yang mesra pandemik dibentangkan, hanya sekadar meneruskan PdPR yang tidak adil bagi sesetengah pihak kerana tidak cukup peralatannya. Kesannya, ramai anak-anak terutama
kawasan luar bandar yang keciciran akademik mereka.
Dalam pada itu, kerajaan juga dilihat tidak bersungguh-sungguh mencari solusi untuk rakyat yang terjejas teruk ekonominya. Pengumuman penambahan SOP baru-baru ini iaitu kedai makan hanya boleh beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8 malam dilihat tidak sensitif dengan keadaan semasa. Apalah yang dibincangkan semasa mesyuarat pemimpin pemimpin ini sehinggakan hasil yang dikeluarkan begitu mudah? Hanya copy and paste SOP yang sebelum ini.
Kerajaan hari ini tidak dapat membantu menjernihkan suasana malah mengeruhkan lagi keadaan. Disebabkan tekanan yang dihadapi inilah yang menyebabkan ada segelintir rakyat yang mengambil jalan mudah iaitu dengan bunuh diri. Buktinya peningkatan percubaan bunuh diri dan bunuh diri meningkat saban tahun.
Ya tidak dapat dinafikan terdapat kes bunuh diri yang disebabkan oleh masalah peribadi seperti putus cinta, gagal dalam akademik dan disebabkan masalah mental yang kritikal. Namun, ia tetap perlu diberikan perhatian yang sewajarnya agar dapat ditangani dengan sebaiknya. Pandemik yang melanda ini sekali gus telah membawa kepada satu keadaan yang mana masyarakat kita telah membina satu benteng untuk berinteraksi dengan orang
lain.
Sikap pentingkan diri sendiri semakin meninggi terjadi. Semua orang terlalu memikirkan hal sendiri seperti kesihatan diri, makanan keluarga sendiri, aktiviti sosial sendiri. Hampir semua perkara dilakukan sendiri. Walaupun kita terkurung dari segi fizikalnya, hakikatnya kita masih lagi boleh berhubung antara satu sama lain melalui teknologi yang ada. Terlalu banyak aplikasi yang boleh kita gunakan untuk berhubung. Paling mudah, boleh sahaja menelefon kenalan dan saudara mara untuk bertanya khabar. Penting untuk pastikan agar
orang di sekeliling kita sihat dari segi fizikal dan mental.
Masyarakat juga seharusnya buang jauh-jauh sikap individualistik yang ada, perlu sentiasa cakna dengan keadaan kenalan kita supaya perkara yang tidak diingini
dapat dielakkan. Tidak terkecuali, semua pihak harus berganding bahu dalam
menghadapi sesuatu isu. Isu bunuh diri ini antara suatu isu yang tidak boleh dipandang sepi. Kita tidak boleh menjadi pemerhati kepada masalah yang sedang membarah dalam masyarakat.
Rakyat dan kerajaan perlu mainkan peranan masing-masing. Rasionalnya, kita semua sebagai rakyat Malaysia harus bersikap lebih prihatin, cakna tentang keadaan sekitar dan ambil peduli apa yang berlaku kepada orang sekeliling terutama insan yang dekat dengan kita.
Buanglah sikap ‘akulisme’ yang ada. Belajarlah memahami dan menangani masalah
kemurungan atau tekanan yang wujud di persekitaran kita. Kerajaan juga harus
segera mencari solusi yang bernas dan tuntas bagi menyelesaikan isu ini. Sebagaimana kata Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq menerusi instagram beliau, “Kerajaan harus kerja lebih masa untuk bantu rakyat.”
Nur Zahanim Muhammad Zahir
Pegawai Pertubuhan IKRAM Malaysia