KUALA LUMPUR – Tiga perempuan dan dua lelaki warga asing berumur lingkungan 30-an ditangkap menerusi dua Serbuan Noda baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP, Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pada serbuan pertama, sepasukan anggota D7 dari Bahagian Siasatan Jenayah menahan seorang perempuan dan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pelacuran selama tiga bulan.
Jelas beliau, modus operandi yang digunakan adalah mencari pelanggan dalam kalangan warga asing di kawasan sekitar kemudian menjemput ke rumahnya.
“Turut dirampas adalah beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir dan wang tunai. Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM50 sekali service,” katanya menerusi kenyataan.
Manakala, perempuan warganegara Vietnam pula diberkas ketika serbuan kedua pada 4 Jun 2021 lebih kurang 6.30 petang di rumah kedai Jalan Pekan Baru 36, Klang.
Menurut Nurulhuda, kedua-dua perempuan itu menggunakan aplikasi Weechat untuk mencari pelanggan.
“Aktiviti ini disyaki telah dijalankan lebih kurang dua ke tiga bulan. Anggaran bayaran yang ditawarkan untuk sekali service adalah RM150.
“Turut dirampas adalah beberapa plastik berisi kondom, tisu, minyak pelincir, buku catitan dan wang tunai,” tambahnya.
Kata Ketua Polis Daerah itu, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 16 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956.
Kertas siasatan pula akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Bagi serbuan pertama, ketiga-tiga suspek telah dituduh pada 3 Jun 2021 di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen diri dan tinggal lebih masa.
“Bagi kes kedua, kedua-dua suspek direman 14 hari bermula 6 Jun hingga 19 Jun 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette