KUALA LUMPUR – Bintang Korea Selatan yang membawa pasukan negara itu mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002, Yoo Sang-chul meninggal dunia.
Yoo adalah salah seorang bintang Korea Selatan yang mengejutkan dunia bola sepak apabila mengemudi negaranya mara jauh pada Piala Dunia 2002.
Dia meninggal dunia pada usia 49 tahun, selepas bergelut dengan kanser pankreas sejak beberapa tahun lalu.
“Kami akan sentiasa mengingati kegembiraan dan kegemilangan hari tersebut bersama anda. Damailah di sana,” kata Persatuan Bola Sepak Korea Selatan di laman media sosial.
Perjalanan penuh inspirasi Korea Selatan pada Piala Dunia 2002 termasuk menewaskan Portugal pada peringkat kumpulan dan jaringan gol emas yang menyingkirkan Itali pada pusingan 16 pasukan terbaik.
Korea Selatan mara ke separuh akhir dengan menewaskan Sepanyol melalui penentuan sepakan penalti.
Perjalanan Korea Selatan bagaimanapun terhenti selepas tewas 0-1 di tangan Jerman pada separuh akhir.
Skuad kendalian Guus Hiddink itu kemudiannya tewas 3-2 kepada Turki dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Kejayaan mara sehingga ke separuh akhir di Piala Dunia 2002 merupakan pencapaian terbaik pasukan dari Asia pada kejohanan tersebut.
Selepas bersara pada 2005, Yoo yang pernah meraih kejuaraan liga Jepun bersama Yokohama F. Marinos dan juga di Korea Selatan bersama Ulsan Horangi menjadi pengulas bersama syarikat penyiaran negaranya.
Yoo kemudian menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan di K-League bersama Daejon Citizen pada 2011 dan tugas terakhirnya sebagai ketua jurulatih Incheon United. – MalaysiaGazette