KUALA LUMPUR – Seorang jururawat muda yang bertugas di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di Hospital Sungai Buloh telah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 5 Jun lalu.
China Press melaporkan, Mugilarasi A/P Perumal yang berusia 26 tahun telah meninggal dunia di Hospital Ampang.
Kakak kepada Mugilarasi ketika dihubungi China Press berkata, adiknya yang berasal dari Batu Gajah, Perak merupakan anak bongsu dalam lima adik-beradik.
Katanya, selain bersedih dengan permergian orang kesayangan, ahli keluarga juga berdepan pelbagai berita palsu mengenai kematian adiknya.
Sebelum ini, satu video yang menunjukkan ahli keluarga menangis tersedu-tersedu melihat orang kesayangan mereka disemadikan telah tular dalam Internet.
Ahli keluarga tersebut juga kelihatan dipisahkan oleh kaca dengan mayat semasa urusan persemadian dilakukan sama ada oleh anggota perubatan atau petugas syarikat pengurusan pengebumian.
Kakak kepada Mugilarasi meminta orang ramai menjaga sensitiviti dan perasaan ahli keluarga dan berhenti menyebarkan video yang melukakan hati mereka.
“Kami telah membuat laporan polis berhubung video ini. Sila menjaga sensitiviti dan memahami perasaan kami dengan menghapuskan video ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Sepatutnya yang ingkar SOP ditugaskan bersama-sama menjaga pesakit pandemic.