Home Nasional Kerajaan digesa beri moratorium automatik selama 6 bulan

Kerajaan digesa beri moratorium automatik selama 6 bulan

Peniaga yang sabar menunggu pelanggan untuk mengunjung kedai masing-masing berikutan terkesan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Gabungan NGO Melayu Islam meminta kerajaan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika darurat termasuk Ordinan Darurat.

Katanya, ia termasuk mengarahkan pemberi pinjaman seperti bank, peminjam berlesen, syarikat kredit, dan koperasi memberikan moratorium automatik kepada golongan B40 dan M40 selama 6 bulan.

“Kebanyakan rakyat yang terbeban dengan hutang pinjaman sewaktu krisis wabak Covid- 19 ini, moratorium automatik ini adalah perkara ‘hidup atau mati’ dari segi menyambung kehidupan harian mereka dan mampu menghindar mereka dari terjebak dengan hutang Ah Long dan masalah sosial”, kata menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, bantuan yang diberikan kerajaan setakat ini jauh lebih rendah daripada Garis Kemiskinan Kebangsaan iaitu RM2,208.00.

Namun, jelasnya, oleh kerana kerajaan tidak mampu memberikan bantuan tunai yang setimpal dengan kos kerugian ditanggung rakyat, pemberian moratorium automatik merupakan penyelesaian terbaik buat masa ini.

“Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat yang ingin bersolidariti dengan gesaan ini supaya mengemukakannya dengan menyokong petisyen yang dilancarkan dua hari lepas dan setakat ini telah berjaya mengumpulkan 10,000 sokongan,” ujarnya. – MalaysiaGazette