
COPENHAGEN – Seramai 1,334 penduduk Denmark yang sudah menerima vaksin penuh dijangkiti Covid-19.
Angka itu dikesan antara 27 Disember 2020 hingga 1 Jun 2021, kata sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Statens Serum Institut (SSI).
Secara keseluruhan, 1,369,059 orang Denmark atau 23.4 peratus daripada populasi telah divaksinasi sepenuhnya.
Manakala 2,391,327, atau 40.9 peratus penduduk lainnya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, menurut SSI.
“Ini sama dengan 0.1 peratus yang dijangkiti walaupun ada vaksinasi, yang mana jumlahnya sangat rendah,” kata Camilla Foged, Profesor Vaksin di Jabatan Farmasi di Universiti Copenhagen kepada agensi berita Denmark, Ritzau.
”Saya rasa ini kerana kita melaksanakan sekatan yang agak ketat, jadi kadar jangkitan agak rendah. Vaksin juga menurunkan angka jangkitan,” katanya.
Sebanyak 5,801 orang telah disahkan dijangkiti Covid-19 setelah menerima suntikan vaksin pertama dan 3,838 daripada mereka atau 66 peratus, dijangkiti virus itu dalam dua minggu pertama, menurut kajian SSI.
Angka tersebut menunjukkan bahawa orang ramai masih perlu berhati-hati walaupun selepas suntikan vaksin pertama, kata Foged.
Denmark telah menggunakan vaksin Covid-19 dari Pfizer / BioNTech dan Moderna. – MalaysiaGazette