Home Sukan Malaysia mungkin dihalang sertai Olimpik Tokyo

Malaysia mungkin dihalang sertai Olimpik Tokyo

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu pengesahan rasmi daripada penganjur Sukan Dunia Olimpik Tokyo 2020 mengenai isu 10 buah negara termasuk Malaysia mungkin tidak dibenarkan menyertainya.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil maklum perkara itu yang dilaporkan media baru-baru ini dan menganggap ia satu perkara serius yang memerlukan tindakan segera.

“Saya ambil maklum berkenaan laporan media mengenai 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

“Ia juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

“Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020,” katanya menerusi satu kenyataan  hari ini.

Justeru Reezal Merican telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara itu.

Malah katanya, KBS juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut.

“Pada masa ini, momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

“Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.-MalaysiaGazette