KUALA LUMPUR – Datuk Rizalman Ibrahim dikecam hebat oleh netizen di laman sosial apabila dia didakwa tidak menghargai pemberian ikan salmon oleh peminatnya.
Menerusi satu perkongsian di Insta Story miliknya sebelum ini, Datuk Rizalman memberitahu, dia tidak menggemari ikan salmon dan hanya makan ikan sardin.
“Saya dah pesan dah jangan duk bagi benda-benda basah ni. Tak payah. Maaflah cik kak oi, walaupun saya memiliki beberapa buah istana dalam Malaysia tapi tidak makan ikan salmon.
“Tak reti nak makan. Ikan curut (sardin) cheq (saya) tahu. Tak apalah, mungkin Faizul dan Umar suka kot,” katanya.
Namun tindakan Rizalman memberikan ikan salmon tersebut kepada kucingnya mencuri perhatian netizen walau haiwan peliharaannya itu enggan menjamahnya.
Susulan itu, rata-rata netizen mengecam pereka fesyen tersebut yang seolah-olah tidak menghargai pemberian peminat.
Kata netizen lagi, jika tidak suka dengan pemberian tersebut tidak perlu memperkecilkan di media sosial.
Susulan isu tersebut, Datuk Rizalman juga dilihat telah mengemaskini di bahagian ‘bio’ akaun Instagram memberitahu makanan apa yang tidak dimakannya. – MalaysiaGazette