Home Utama Suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di ruang tamu

Suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di ruang tamu

Sumber Gambar FB Polis Daerah Seri Alam

JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pasangan itu ditemui anak angkat lelaki mereka, yang datang melawat setelah panggilan telefon tidak berjawab.

Beliau berkata, pasangan itu masing-masing berusia 68 dan 61 tahun dipercayai meninggal dunia akibat penyakit lama yang dihidapi, dan hasil bedah siasat ke atas kedua-duanya mendapati wanita berkenaan positif COVID-19.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 48 jam dan kematian si suami berpunca daripada sejarah penyakit kronik yang dihidapi antaranya strok, sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Si isteri pula menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, dan turut disahkan positif COVID-19 setelah ujian saringan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat pasangan itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Menurutnya, siasatan mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian pasangan itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

— BERNAMA