Home Nasional TLDM tumpaskan bot nelayan Vietnam, rampas hasil laut bernilai RM1.2 juta

TLDM tumpaskan bot nelayan Vietnam, rampas hasil laut bernilai RM1.2 juta

Dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh Zon Maritim Malaysia dan menangkap hasil laut bernilai RM1.2 juta berjaya ditumpaskan oleh Bot FCB milik TLDM petang semalam.

KUALA LUMPUR – Ketangkasan Fast Combat Boat (FCB) baharu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuktikan keupayaannya dalam menangani jenayah di perairan negara termasuk membabitkan warga asing.

Dalam perkembangan terbaharu lewat petang semalam, FCB telah bertindak ke atas bot nelayan asing Vietnam yang didapati menceroboh perairan negara dan mencuri hasil laut secara haram.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Darat TLDM Lumut di Perak berkata, dua buah bot nelayan Vietnam berjaya dikesan berada di Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Berikutan pencerobohan itu, dua buah FCB yang membawa Quick Reaction Team (QRT) dari Markas Wilayah Laut 1 telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian lebih kurang 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang bagi mengusir serta memintas beberapa buah bot nelayan asing di kawasan tersebut.

“Hasilnya, kesemua bot nelayan asing berjaya diusir dan sebuah darinya ditahan yang mana kedua-dua bot itu pada mulanya telah dikesan melalui radar KD LEKIU.

FCB milik TLDM berjaya memintas dan menahan bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan mencuri hasil lautan negara secara haram tanpa dokumen sah ditahan petang semalam.Ihsan TLDM

“Bot nelayan yang berjaya ditahan didapati membawa 21 orang awak-awak warganegara Vietnam berumur lingkungan 20 hingga 32 tahun.

“Mereka yang didapati membuat penangkapan ikan secara haram, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 1.2 juta,” kata kenyataan itu.

Terdahulu pada 1 dan 4 Jun lalu, FCB juga berjaya menangani ancaman ancaman bukan tradisional di perairan negara.

Markas TLDM menambah, kejayaan itu bermula dengan pengoperasian aset ini pada kejadian cubaan menyeludup barangan terlarang di perairan Teluk Ramunia dan penahanan bot nelayan asing di perairan Pulau Tioman.

Menurutnya, ATM khususnya TLDM tidak akan berkompromi dalam sebarang aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM juga akan sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset demi kedaulatan perairan negara serta akan meneruskan kerjasama yang padu bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain,” ujar kenyataan yang sama.

FCB yang dibina oleh syarikat tempatan dalam tempoh lima bulan di Lumut dilengkapi dengan beberapa kriteria penting sebuah bot pemintas seperti sistem dorongan water jet yang mampu mencapai kelajuan sehingga 50 knot dan sistem pengesanan yang canggih.

FCB berkenaan turut dilengkapi dengan keupayaan pengawasan pada waktu malam, kamera Forward Looking Infrared (FLIR) dengan lensa sehingga 30x optical zoom dan Automatic RADAR Plotting Aid (ARPA). FCB boleh dioperasikan dengan QRT bagi melaksanakan sebarang operasi penggeledahan.

Pembinaan FCB menunjukkan pemain industri maritim tempatan mampu menghasilkan produk setanding antarabangsa.

Perolehan aset berkenaan memainkan peranan penting dalam operasi pemintasan, rondaan pesisir pantai dan sebagai aset sokongan terhadap keperluan operasi maritim yang lain.-MalaysiaGazette