Home Nasional Trak Vaksin Bergerak Wilayah diserbu, ramai teruja dapat suntikan ‘laluan pantas’ 

Trak Vaksin Bergerak Wilayah diserbu, ramai teruja dapat suntikan ‘laluan pantas’ 

Penduduk menerima suntikan vaksin pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah yang julung kali diperkenalkan di Wilayah Persekutuan bermula di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Muhibbah hari ini diserbu orang ramai dek kerana tidak sabar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Walaupun kebanyakannya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), namun riak muka penduduk di sini kelihatan teruja dan tidak sabar-sabar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada kadar ekspres berbanding di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berbulan-bulan lamanya.

Perasaan takut kepada jarum mahupun kesan sampingan vaksin, hampir tiada langsung kepada setiap penduduk PPR Kg Muhibbah yang datang, sama ada mereka sihat mahupun uzur kerana keselamatan nyawa lebih penting ketika ini.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, walaupun berlaku sedikit kesesakan, namun prosedur operasi standard (SOP) tetap diamalkan bagi memastikan kelancaran Program Vaksinasi COVID-19@Wilayah Persekutuan yang juga merupakan salah satu dari tujuh Inisiatif Wilayah Cakna 5.0 untuk memastikan 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasikan pada penghujung Ogos 2021.

Sebanyak dua trak vaksin bergerak MYMedic@Wilayah digunakan dengan setiap trak mempunyai kapasiti 500 dos vaksin, bermula jam 9 pagi hingga 4 petang yang dijadualkan selama sehari.

KWP turut menyasarkan program imunisasi kepada semua warga PPR/PA DBKL yang lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat.

Megat Yusoff Megat Hassan

Menurut seorang penduduk PPR Kg Muhibbah, Megat Yusoff Megat Hassan, 63, insiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu menunjukkan kerajaan sangat prihatin kepada warga emas yang sukar mendapatkan suntikan vaksin susulan kesihatan tidak menentu.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah inilah satu kemudahan kepada PPR ini untuk warga emas, kami sangat bersyukur kepada kerajaan kerana mengambil berat tentang hal ehwal kesihatan kami.

“Kepada penduduk yang tak mahu vaksin itu, saya nasihatkan mereka datang beramai-ramai di sini, ini adalah kemudahan untuk kita

“Saya vaksin hari ini sebagai tanggungjawab dan warga emas kita sepatutnya cucuk vaksin untuk kesihatan kita dan untuk masyarakat setempat,” katanya kepada MalaysiaGazette di PPR Kg Muhibbah, hari ini.

Alia Yanti Alias

Bagi seorang lagi penduduk, Alia Yanti Alias, 39, dia dan ibunya sangat teruja apabila mendapat tahu vaksin Covid-19 akan dibawa terus kepada masyarakat dan tidak perlu keluar dari kawasan perumahan itu.

“Saya daftar program vaksin Jumaat lepas, saya dapat tarikh itu semalam (Ahad) untuk buat vaksin hari ini, sangat cepat tak perlu tunggu lagi.

“Kalau MySejahtera sebelum ini lambat, lepas saya dan ibu saya daftar melalui blok PPR Kg Muhibbah dengan DBKL, saya dapat tarikh vaksin pada hari ini,” katanya.

Alia Yanti juga mengalu-alukan sekiranya program seperti ini diterus dan diperluaskan dengan memberi keutamaan serta memudahkan warga emas dan OKU mendapat suntikan vaksin itu.

“Program ini sangat membantu untuk mendapatkan vaksin terutama warga emas. Proses pendaftaran amat mudah, semua sistematik, jadi kami rasa amat gembira setelah mendapat vaksin pada hari ini.

“Saya harap orang ramai segera mendaftar dengan MySejahtera untuk mendapat peluang keemasan sebegini, supaya kita dapat capai imunisasi untuk komuniti berkelompok,” katanya.

Rozi Abdul Hadi

Menurut Rozi Abdul Hadi, 42, program vaksin secara bergerak itu perlu diperluaskan ke semua tempat agar orang ramai tidak perlu menunggu lama dan beratur panjang apabila berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Baguslah dan cepat, tak perlu pergi ke pusat vaksin, beratur panjang, jadi saya hanya perlu ke sini dan daftar dan terus ambil suntikan.

“Saya setuju jika kerajaan dapat teruskan program-program macam ini, memudahkan warga emas untuk mengambil vaksin tanpa perlu beratur panjang,” katanya.

Abdullah Bakri

Sementara itu, bagi seorang OKU, Abdullah Bakri, 68, dia berasa lega apabila tidak perlu keluar dari kawasan perumahan itu untuk mendapatkan suntikan, tambahan pula kes positif Covid-19 semakin membimbangkan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan dan DBKL kerana beri kemudahan ini dan cepat, saya daftar dalam dua minggu, hari ini sudah dapat vaksin.

“Sesiapa yang belum lagi, ambil perhatian sikit, ambil lah vaksin, sebab kita payah nak dapat vaksin, sedangkan kawan-kawan di luar negara kena beli, sedangkan kita dapat percuma.

“Saya rasa program ini patut diteruskan saja sebab perkara ini pun memang baik untuk kemudahan kita juga,” katanya.

Tong Onn Keong

Menurut seorang warga emas berbangsa Tionghoa, Tong Onn Keong, 66, sebelum ini dia berasa takut untuk mendapatkan vaksin kerana kesan sampingannya, namun keadaan itu berlaku sebaliknya apabila berada di sini.

“Tengok dalam televisyen orang kena vaksin banyak takut, bila datang sini tengok jarum langsung tak takut,” katanya.

Onn Keong juga turut melahirkan rasa teruja kerana dia tidak perlu menunggu giliran panjang yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera.

“Banyak bagus kerajaan bagi vaksin cepat, tak payah tunggu lama, saya daftar satu minggu sudah dapat tarikh hari ini.

“Pakai MySejahtera memang tak dapat cepat macam ini, dulu daftar pun belum sampai lagi (giliran),” katanya.

Puvaneswary A/P Marimuthu

Bagi Puvaneswary AP Marimuthu, 41, dia mengakui agak terlewat untuk mendaftar dengan MySejahtera bagi mendapatkan vaksinisasi sebelum ini.

“Sebelum ini memang takut, memang tak daftar pun sebelum ini, tapi bila dapat tahu, kes pun dah banyak, kita rasa tak selamat.

“Bila kita dapat tahu DBKL nak anjurkan (vaksinasi) dekat sini, saya terus daftar satu keluarga termasuk ibu dan bapa saya,” katanya.

Orang ramai beratur dan menunggu giliran pada Program Vaksinasi melalui Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR)Muhibbah, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

Puvaneswary berkata, program itu perlu dilakukan sekerap mungkin bagi memudahkan orang ramai khususnya warga emas, OKU dan orang yang uzur mendapatkan vaksin tanpa perlu menunggu lama.

“Saya rasa sangat teruja sebab memang dekat dengan rumah, lepas itu berterima kasih kepada pihak DBKL dan penganjur sebab bagi kami suntikan dekat dengan rumah kami.

“Kalau MySejahtera giliran lama, ramai juga yang beratur panjang, di sini sangat tengok pengurusannya agak teratur.

“Patutnya program ini diteruskan sebab ramai lagi tak dapat lagi vaksin hari ini, kalau diteruskan mungkin lebih ramai boleh dapat suntikan vaksin ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette