Home Nasional CAP gesa kerajaan kawal harga minyak masak 5kg

CAP gesa kerajaan kawal harga minyak masak 5kg

Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengawal harga minyak masak lima kilogram dalam negara daripada terus melonjak secara mendadak.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, kenaikan harga minyak masak itu bukan membebankan pengguna malah dikhuatiri menjadi alasan buat peniaga menaikkan harga makanan.

Jelas beliau, pihak CAP menerima banyak panggilan daripada golongan surirumah sekitar Pulau Pinang termasuk di kawasan bandaraya, mendakwa minyak masak yang dibeli di pasaraya meningkat sehingga RM33 bagi setiap lima kg.

Subbarow.

“Dengan harga itu, bermakna pengguna sudah membayar lebih RM6 bagi sekilogram minyak masak.

“Kenaikan harga itu tidak munasabah dan membimbangkan mereka terutamanya bagi surirumah daripada golongan B40,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Subbarow, nilai RM33 amat besar buat pengguna ketika ini yang sedang berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, kita gesa kerajaan ambil tindakan segera dengan mengawal kenaikan harga minyak masak agar tiada pihak menangguk di air keruh.

“CAP juga mahu pihak berkuasa atau agensi berkaitan melakukan pemantauan harga makanan di kedai makan supaya peniaga tidak ambil kesempatan menerusi kejadian ini,” kata Subbarow.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat kenaikan harga minyak masak.

Menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menetapkan kembali harga siling bagi minyak masak botol dan dimasukkan dalam senarai harga barangan kawalan supaya rakyat tidak terus menderita. – MalaysiaGazette