KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap tiada pihak yang mengganggu dan melobi untuk pemilihan jawatan Naib Canselor di lima Universiti Awam (UA).
Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya tidak mahu mana-mana pihak berkepenting mencampuri dan mempengaruhi proses itu dalam usaha memastikan kecemerlangan institusi pendidikan negara terus bersih dan menyerlah.
Katanya, CUEPACS menghargai maklum balas Kementerian Pendidikan Tinggi dalam isu kekosongan jawatan Naib Canselor membabitkan lima buah UA ketika ini.
“Hasrat utama CUEPACS dalam isu ini hanyalah mahu memastikan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi negara dapat diterokai sepenuhnya melalui urus tadbir yang cemerlang terutama ketika negara sedang mengalami pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lima universiti yang tidak mempunyai Naib Canselor itu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Maalaysia (UPM).
Adnan memberitahu, pelantikan Naib Canselor yang baru dengan cepat tanpa melengahkan masa akan membolehkan operasi pentadbiran universiti tersebut berjalan dengan baik.
Menurutnya, langkah itu sekali gus dapat memastikan setiap UA berada pada landasan tepat untuk melaksanakan hala tuju, visi dan misi yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Tambah beliau, campur tangan oleh pihak lain terutama dalam mencadangkan sendiri nama calon Naib Canselor adalah tidak wajar kerana ia dikhuatiri mempunyai kepentingan tertentu.
Selain itu, katanya, cadangan nama calon secara terbuka boleh mengakibatkan keharmonian bekerja terjejas apabila wujudnya kumpulan-kumpulan yang cuba melobi ketua masing-masing untuk mendapatkan jawatan tersebut. – MalaysiaGazette