Home Nasional Penduduk Taman Scientex diancam hakisan tanah

Penduduk Taman Scientex diancam hakisan tanah

Hakisan tanah teruk di Jalan Kadidi 31 dan Jalan Kedidi 1 membimbangkan penduduk

PASIR GUDANG – Penduduk Taman Scientex, di sini, bimbang dengan masalah hakisan tanah yang berlaku di belakang rumah mereka.

Mereka menyifatkan keadaan itu boleh mengancam nyawa jika tindakan segera tidak diambil pihak pemaju.

Pekerja kilang, Mohd Zulfazli Mohd Jalil, 34, berkata, hakisan tanah berlaku sejak Januari lalu selepas musim tengkujuh hujung dan kawasan paling terjejas ialah di Jalan Kadidi 31 dan Jalan Kedidi 1.

Beliau khuatir jika hujan lebat, keadaan akan lebih buruk dan beberapa rumah berpotensi untuk runtuh.

“Terdapat hampir enam buah rumah di Jalan Kedidi 31 berada dalam keadaan bahaya.

“Keretakan bukan sahaja berlaku dalam rumah malah di belakang rumah semen sudah pecah dan runtuh akibat tanah mendap.

“Seorang penduduk di Jalan Kedidi 31 terpaksa menyewa rumah lain kerana belakang rumahnya sudah mendap dan berlubang di bawahnya selain dinding retak manakala paip pula pecah akibat tanah runtuh,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Shahrizam Zakaria, 32, berkata, masalah berkenaan sudah diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan jangka panjang dilakukan.

“Mereka hanya memasang kanvas dan selepas itu tidak berbuat apa-apa lagi walaupun penduduk sudah banyak kali mengadu masalah itu. Malah kanvas yang dipasang juga sudah reput, koyak dan tanah terus terhakis,” katanya.

Shahrizam yang merupakan seorang guru mendakwa, pemaju sering berdolak-dalih denghan memberi pelbagai alasan selain melambat-lambatkan tindakan supaya tempoh jaminan rumah di kawasan itu tamat.

“Apabila tamat mereka tidak perlu berbuat apa-apa lagi kerana tempoh jaminan pembelian rumah yang berusia dua tahun sudah habis.

“Pemaju selepas itu akan meletakkan kesalahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk lepas tangan,” dakwanya.

Sementara itum Iskandar Nadirin, 34, kesal kerana pemaju atau wakilnya tidak pernah melihat meninjau masalah yang dihadapi penduduk kawasan itu.

Dakwanya, mereka sering kali mengelak apabila mahu bertemu di pejabat pemaju malah aduan dikemukakan diminta ditarik balik.

“Sekarang ini mereka gunakan alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak hadir ke lokasi tanah runtuh sedangkan masalah ini melibatkan keselamatan penduduk.

“Wakil pemaju juga salahkah pihak lain yang tiada kena mengena dengan punca masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azarul Sabar, 39, berkata, masalah hakisan tanah di belakang rumah Jalan Kadidi 1 hanya ditangani dengan meletakkan batu dan kayu bakau sedangkan kediaman serta lereng bukit dikawasan itu perlu dibaiki.

“Sepatutnya mereka baikinya untuk tempoh masa panjang dan bukan dengan memancang kayu bakau yang tajam di lereng bukit, ini membahayakan terutama kanak-kanak yang bermain di belakang rumah,” katanya. – Malaysiagazette