Home Nasional UK kerap bersidang Parlimen bila Covid-19 teruk, Malaysia sebaliknya – Mat Sabu

UK kerap bersidang Parlimen bila Covid-19 teruk, Malaysia sebaliknya – Mat Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu bercakap kupada media elepas selesai mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2021.
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menggesa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar Parlimen kembali bersidang.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Malaysia sewajarnya mencontohi United Kingdom (UK) yang kerap menjalankan sidang Parlimen ketika negara itu terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Saya minta Agong supaya dibuka semula (Parlimen) agar boleh bersidang seperti di UK.
“Tengah-tengah pandemik paling teruk, sidang Parlimen lagi kerap (UK) kerana rakyat nak tahu apa program kerajaan untuk mengatasi Covid-19 ini.
“Tidak seperti kita, Covid-19 teruk, Parlimen tutup, perkara itu kita suarakan kepada Agong,” katanya pada sidang media di luar Pintu 2, Istana Negara, hari ini.
Terdahulu Mohamad yang menaiki kenderaan Honda CRV berwarna putih tiba di Pintu, Istana Negara kira-kira jam 2.58 petang.
Bagaimanapun, beliau beredar dari Istana Negara selepas mengadakan perjumpaan khas bersama YDPA hampir sejam, kira-kira jam 4.05 petang.
Mohamad merupakan pemimpin politik keempat yang mendapat berkenan menghadap Agong hari ini selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ditanya mengenai gesaan beliau agar Parlimen dibuka semula, Mohamad bagaimanapun menyerah perkara itu kepada pertimbangan YDPA.
“Itu terserah kepada baginda, kita hanya menyampaikan hasrat kita dan rakyat
“Soal Agong itu terserah kepada budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku,” katanya.
Mohamad turut menafikan tiada sebarang perbincangan mengenai perubahan kerajaan, sebaliknya lebih tertumpu kepada kepentingan rakyat yang terjejas akibat Covid-19.
“Kita tak bincang soal kerajaan, kita bincang soal rakyat yang sudah sampai ke peringkat pergi ke pejabat khidmat ambil makanan kerana tiada pendapatan lagi.
“Macam pemandu Grab, sudah tiada penumpang, macam mana dia nak makan setiap hari, itu yang mereka datang ke pusat khidmat ambil makanan.
“Ertinya masalah rakyat sekarang ini serius, jangan kita nak main-main masalah rakyat yang memerlukan makanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette