Home Nasional Aksi lucah di IG ditonton kanak-kanak: Safiey Illias diburu polis

Aksi lucah di IG ditonton kanak-kanak: Safiey Illias diburu polis

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Polis sedang memburu seorang individu bernama Safiey Illias yang juga pemilik akaun Instagram SafieyIllias94 dalam siasatan kes hantaran lucah di Instagram bersama kanak-kanak bawah umur.

Suspek dikenalpasti sebagai hos bersama Instagram ID ‘pipinatasha’ yang berpakaian menjolok mata dalam Instagram live yang ditonton dua kanak-kanak bawah umur dengan Instagram ID hadiff_othman07 dan sy.ahrul5387.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan polis oleh seorang wanita yang bekerja sebagai pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekitar jam 1.29 petang semalam.

“Pada jam 9 pagi hari ini (Rabu) semasa pengadu (pensyarah) berada di rumah di Bangi, dia melihat pautam Instagram live milik ‘safieyillias94’ yang merupakan host bersama Instagram pipinatasha berpakaian menjolok mata.

“Siasatan polis mendapati host berkenaan melakukan perbuatan yang boleh ditakrifkan sebagai komunikasi lucah dan amang seksual kerana melibatkan kanak-kanak bawah umur.

“Mereka juga menunjukkan aksi penggunaan vape kepada kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, bertindak atas laporan polis itu, polis sedang mengesan suspek berkenaan.

Beliau juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian atau saspek  menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, terus datang ke Ibu Pejabat Polis Kajang serta menghubungi pegawai penyiasat kes tersebut.

“Polis telah membuka kertas siasatan dan sedang mempergiatkan tindakan memburu suspek Safiey Illias untuk membantu siasatan kami.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya.

Artikel berkaitan:

Laporan polis ke atas Safiey Illias gara-gara aksi lucah di IG

Pada Rabu, MalaysiaGazette melaporkan tindakan Dr. Rafidah Hanim Mokhtar  membuat laporan polis selepas mengesan penularan video live Instagram lucah.

Laporan polis itu bertujuan mendesak pihak berkuasa bertindak segera ke atas instafamous berkenaan yang disifatkan sebagai sudah melampaui batasan menerusi perbuatan video menjolok mata menggunakan kanak-kanak bawah umur itu.

“Saya rasa kita dah banyak bertolak ansur dengan mereka yang instafamous ini.

“Ibu bapa, kejadian ini berlaku 1.50 pagi. Anak-anak tak sepatutnya menggunakan HP waktu dinihari dan bagi tujuan melawat atau terlibat dalam IgLive sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette