Home Politik Armada gesa kerajaan segera suntik vaksin kepada pengamal media

Armada gesa kerajaan segera suntik vaksin kepada pengamal media

- Armada Nasional Bersatu (Armada) menggesa agar usaha imuniti kelompok antara pengamal media dipercepatkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Armada Nasional Bersatu (Armada) menggesa agar usaha imuniti kelompok antara pengamal media dipercepatkan.

Ketua penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, langkah itu perlu kerana golongan ini berdepan jangkitan Covid-19 kerana sering berada di luar untuk membuat liputan.

“Armada menggesa untuk dipercepatkan proses ini selain Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberi fokus sepenuhnya kepada senarai nama pengamal media, utamanya yang berada di lapangan bagi mendapatkan suntikan dalam kadar segera.

“Hakikatnya kelewatan untuk pengamal media ini adalah suatu yang tidak wajar berlaku, kerana peranan media selaku barisan hadapan, tidak dapat ‘dunia’ menafikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim

Dalam pada itu, sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik langkah kerajaan yang telah memulakan proses imunisasi kepada pengamal media.

Jelasnya lagi, usaha itu adalah bukti keprihatinan kerajaan atas hak pengamal media untuk menjalankan tugas mereka dengan selamat.

“Kita tidak boleh menafikan peranan media selaku frontliners atau petugas barisan hadapan adalah begitu penting atas keperluan masyarakat negara untuk terus disajikan dengan berita serta informasi terkini yang lebih beretika dan tepat.

“Biarpun dalam situasi pandemik ini, ketetapan aturan kehidupan bukanlah semuanya berlaku secara maya,” katanya lagi.

Semalam, kira-kira 100 pengamal media daripada pelbagai agensi di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Seroja secara berperingkat.

Ia adalah sebahagian daripada lebih 4,000 pengamal media di seluruh negara akan diberikan secara berperingkat di seluruh negara. – MalaysiaGazette