Home Ekonomi ‘Industri dosa’ juga wajar dilindungi – Penganalisis

‘Industri dosa’ juga wajar dilindungi – Penganalisis

K. Pankaj

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mencari jalan terbaik untuk memastikan industri melibatkan alkohol, rokok dan perjudian juga tidak terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Ini kerana industri berkenaan juga merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia, katapenganalisis ekonomi dan kewangan, Pankaj Kumar.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PK) diperlukan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan meratakan lengkungan bagi menangani pandemik Covid-19 ini tetapi ketidaktentuan dan kekeliruan mengenai apa yang dikategorikan sebagai barangan penting atau tidak selain prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas tidak bagus untuk perniagaan.

Lagi pun, industri seperti alkohol, rokok dan perjudian sering menanggung kesan akibat ketidakjelasan polisi disebabkan tindakan segelintir yang mempolitikkannya dan retorik yang tidak praktikal.

Menurut Pankaj, cukai eksais yang kebanyakannya dikenakan ke atas `industri dosa’ adalah penyumbang hasil yang besar kepada kerajaan.

Misalnya pada tahun 2020, kerajaan memungut hampir RM10 bilion dari segi cukai eksais dan ia adalah 23.5% daripada jumlah keseluruhan cukai tidak langsung sebanyak RM41.9 bilion yang diperoleh pada tahun 2020.

Selain itu, industri-industri ini menjana banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, dengan penggajian langsung dan tidak langsung melangkaui ratusan ribu rakyat Malaysia.

Pankaj berkata, industri ini juga menjana gandaan kesan positif ke atas ekonomi dan meraih pelaburan terus asing (FDI).

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu melakukan apa sahaja di dalam kuasanya bagi melindungi aliran hasil ini bagi membiayai pemulihan ekonomi, melabur di dalam vaksin dan memperkasa semula daya saing negara bagi menarik FDI.

”Saya tidak bercakap agar industri-industri ini diberi insentif atau pembiayaan istimewa tetapi untuk memastikan bahawa industri tersebut dapat berterusan menyumbang kepada hasil negara kepada kerajaan menerusi hasil cukai, baik secara langsung atau pun cukai tidak langsung.

“Apa yang diperlukan bagi industri-industri ini untuk pulih dan terus menyumbang besar kepada hasil negara adalah polisi-polisi yang jelas serta praktikal bagi meminimumkan gangguan terhadap operasi mereka.

”Kestabilan fiskal juga sangat penting kepada industri-industri ini dan tak perlu diucapkan bahawa menaikkan cukai eksais bagi alkohol, rokok dan perjudian sekarang, adalah menyamai tindakan membunuh ‘angsa yang bertelur emas’,” kata beliau lagi.

Sebagai tambahan, kerajaan boleh meningkatkan langkah-langkah penguatkuasaan dengan menguatkuasakan sepenuhnya kawalan yang ditetapkan di dalam Belanjawan 2021 bagi menangani rokok seludup dan menyediakan undang-undang yang akan mampu menanganinya secara berkesan.

Penyeludupan alkohol dan rokok berterusan menjejaskan prestasi pengilang saha manakala perjudian haram menerusi Internet juga menganggu pengendali berlesen.

“Kita faham, bagi kerajaan, wang yang ada sangat ketat untuk dibelanjakan sekarang. Keadaan kini lebih genting berbanding sebelum ini untuk melindungi dan bukan menghukum industri-industri sah yang sememangnya menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19,” kata Pankaj. – MalaysiaGazette