Home Nasional Polis rampas 30kg ketamin bernilai lebih RM1.5 juta di Gua Musang

Polis rampas 30kg ketamin bernilai lebih RM1.5 juta di Gua Musang

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Polis merampas 30 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai lebih RM1.5 juta dalam sebuah lori semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Puteh, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar berkata, dalam kejadian pada kira-kira 12.30 pagi itu, pemandu dan kelindan lori berusia 30 dan 34 tahun itu ditahan setelah polis menemukan bungkusan yang mencurigakan.

“Anggota yang bertugas di SJR telah menemukan dua kotak yang dibungkus dalam beg kanvas untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan teliti di dalam dua kotak menemukan 30 plastik putih yang berisi ketulan dadah jenis ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang, di sini hari ini.

Sheik Azhar berkata, hasil siasatan lanjut telah membawa kepada penahanan pemilik lori berusia 32 tahun di Kuala Krai dan seorang lagi ahli sindiket berusia 44 tahun di Rantau Panjang (44), semalam (Rabu).

“Bagi 30kg ketamin yang dirampas itu, ia boleh digunakan oleh 60,000 penagih dadah dan kesemua empat suspek itu ditahan reman seminggu sehingga 16 Jun depan bagi membantu siasatan,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Di MELAKA, seorang pekerja syarikat kargo di Kuala Lumpur ditahan kerana memiliki satu kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM36,000 di dalam beg sandang ketika melalui SJR di Tol Ayer Keroh menghala ke bandar Melaka di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata, lelaki berusia 25 tahun yang menaiki Proton Preve itu memasuki Melaka mengguna surat yang dikeluarkan syarikatnya dengan alasan membawa barangan kargo sebelum ditahan kira-kira 9 malam tadi.

“Lelaki berkenaan berasal dari Melaka dan bekerja di Kuala Lumpur, dipercayai membawa masuk dadah tersebut untuk memenuhi pasaran di Melaka namun dari mana bekalan diperoleh masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai mampu menampung kegunaan kira-kira 2,000 penagih dadah dan suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, disyaki baharu terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berkenaan serta ditahan reman tujuh hari, bermula hari ini. – Bernama