Home Nasional Satu lagi kematian akibat rabies di Sarawak

Satu lagi kematian akibat rabies di Sarawak

rabies Selangor

KUALA LUMPUR – Satu lagi kematian kes rabies berlaku di Stapang dekat Selagau, Sarawak membabitkan seorang lelaki tempatan baru-baru ini.

Mangsa berusia 45 tahun, telah dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei lalu disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.

Beliau mempunyai sejarah digigit sebanyak dua kali iaitu di bahagian betis dan dagu oleh dua ekor anjing berbeza milik rakan sekerjanya pada Februari dan Mac lalu di kawasan kilang papan tersebut.

Ekoan kejadian itu, pemilik haiwan itu telah membunuh kedua-dua ekor anjing tersebut tetapi tidak menyerahkan bangkainya kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk siasatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa tidak mencuci luka di bahagian betis dan dagu dengan air yang mengalir dan sabun dan tidak pernah mendapatkan rawatan selepas digigit oleh anjing tersebut.

Menurutnya, ketika mangsa dimasukkan ke wad Hospital Sibu untuk rawatan, keadaannya semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei lalu.

Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 10 Mei lalu.

Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei lalu dan lelaki itu meninggal dunia pada 12 Mei, pada jam 1.24 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies dalam alangan manusia di Sarawak untuk tahun ini adalah empat.

Sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 35 dengan 33 kematian.

Menurut, dua kanak-kanak yang dijangkiti rabies masih hidup tetapi dengan komplikasi neurologi yang teruk. – MalaysiaGazette