KUALA LUMPUR – Susulan empat pemimpin utama parti politik hadir dalam perjumpaan khas bersama Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semalam, hari ini beberapa lagi figura politik menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, antara pemimpin parti politik ketiga yang hadir dalam pertemuan khas di Istana Negara hari ini.
Dr Mahathir yang menaiki kenderaan jenis Proton X70 berwarna kelabu duduk di bahagian penumpang tiba Pintu 2, Istana Negara, kira-kira pukul 1.58 petang tadi.
Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, antara pemimpin parti kerajaan yang hadir dalam pertemuan di Istana Negara, kira-kira pukul jam 10.22 pagi tadi.
Kehadiran Tuan Ibrahim dipercayai bagi mewakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Seusai pertemuan empat mata itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula menghadiri perjumpaan khas itu yang tiba melalui Pintu 2, Istana Negara, kira-kira jam 11.58 pagi tadi.
Selepas hampir sejam pertemuan itu, Ka Siong yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna hitam beredar pada jam 12.52 tengah hari.
Bagaimanapun Menteri Pengangkutan itu tidak memberhentikan kenderaan dan terus meninggalkan pekarangan Istana Negara. – MalaysiaGazette