Home Politik Cadang tamatkan darurat, buka sidang Parlimen – Zahid

Cadang tamatkan darurat, buka sidang Parlimen – Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Sebanyak empat cadangan dipersembahkan oleh UMNO ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penamatan proklamasi darurat antara perkara yang dicadangkan susulan ia tidak mampu menyelesaikan pandemik Covid-19.

“Saya telah mempersembahkan kepada Tuanku tentang pendirian UMNO supaya darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini. Ini kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara dan ternyata tanpa darurat pun kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.

“UMNO juga membawa suara rakyat yang rata-rata resah dan gelisah dalam menghadapi pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan mata pencarian dan pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Negara hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid HamidiĀ  tiba di Pintu 2, Istana Negara kira-kira jam 9.54 pagi tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna perak sempat membuka tingkap kereta dan melambai ke arah petugas media sebelum berlalu pergi ke Istana Negara.

Dalam pada itu, UMNO juga mengesyorkan kepada YDPA untuk mengembalikan sidang Parlimen bagi memastikan sistem demokrasi negara dipertahankan.

“Kita kena pastikan wujud elemen ketelusan serta semak dan imbang dalam segala aspek yang berkaitan dengan pentadbiran negara.

“Parlimen amat penting sebagai platform rasmi menyuarakan suara hati rakyat berkenaan dengan kepentingan mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa semua bantuan kepada rakyat tidak terhad kepada golongan pendapatan rendah (B40) sahaja.

“Tuntutan moratorium, kenaikan harga barang mendadak, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan untuk semua yang tidak terhad kepada B40 sahaja, kerana kumpulan M40 dan T20 juga terjejas,” katanya.

Ahmad Zahid turut merasakan sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan keyakinan pelabur sama ada dalam mahu pun luar negara.

“Kita merasakan aspek ekonomi sama ada FDI pelaburan terus asing yang telah dilokasikan ke luar negara.

“Yang penting sekali pelaburan dalam negara yang harus digalakkan dengan pelbagai insentif dapat diberikan oleh kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zahid, Agong tak bincang soal Mageran