GEORGE TOWN – Disiplin diri dengan memperuntukkan masa tujuh jam sehari untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta mengulangkaji pelajaran bersama rakan sekelas menjadi resipi kejayaannya,
Itu kata Isfahani Kamal Mohamad Ismail, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Mashoor (Lelaki) di sini yang memperoleh keputusan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disemak secara online semalam.
Menurut pelajar aliran sains agama tersebut, pembelajaran ketika pandemik memang mencabar tetapi ia dijadikan cabaran untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Adakalanya sesi PdPR terputus-putus tetapi itu bukan halangan untuk saya akan dapatkan penjelasan lebih lanjut daripada guru berkenaan selepas habis sesi tersebut.
“Selain itu, saya bersama tiga rakan lain akan membuat mengulangkaji pelajaran secara maya dan dalam sesi itu masing-masing yang mahir dalam subjek tertentu akan memberi penjelasan untuk mudah kami yang lain faham.
“Sekurang-kurangnya sehari saya dan tiga rakan yang lain akan habiskan masa tujuh jam untuk ulangkaji serta sesi PdPR manakala hari Jumaat sahaja kami akan berehat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Makloom di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Isfahani Kamal berkata, pada mulanya, dia menjangka keputusan 10A sahaja memandang isu hasil keputusannya ketika Peperiksaan Percubaan SPM 2020.
Jelasnya, keputusan 11A itu merupakan kejutan buat dirinya dan dia bersyukur usaha yang dilakukannya itu membuah hasil.
“Kejayaan tersebut bergantung kepada disiplin yang dilakukan di rumah dengan menetapkan waktu untuk belajar.
“Ibu bapa juga banyak membantu dengan memberi sokongan agar saya kekal menumpukan perhatian dalam pembelajaran ketika di rumah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, anak bongsu daripada empat beradik itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas iringan doa ibu bapa, keluarga, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak memberi dorongan selain bertukar pendapat untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM. – MalaysiaGazette