Home Ekonomi IPP April 2021 melonjak 50.1%

IPP April 2021 melonjak 50.1%

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi bulan April 2021 meningkat mendadak 50.1 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan IPP pada bulan April 2021 dipacu oleh peningkatan dalam kesemua indeks; indeks pembuatan (68.0%), indeks elektrik (22.9%) dan indeks perlombongan (14.3%).

Peningkatan pertumbuhan pada April 2021 ini juga merupakan kesan pemulihan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tahun lalu.

Jabatan Perangkaan berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 68.0 peratus pada bulan April 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 12.7 peratus pada bulan Mac 2021.

Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor Pembuatan pada bulan April 2021 adalah kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (275.2%), produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (141.0%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (70.1%).

Industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 52.8 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 110.9 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik & elektronik dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Selain itu, prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan, output sektor perlombongan tumbuh positif pada April 2021 buat kali pertama semenjak Februari 2020 dengan mencatatkan 14.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Kenaikan tersebut disebabkan oleh peningkatan dalam indeks gas asli (23.9%) dan indeks minyak mentah & kondensat (2.7%).

Output sektor elektrik meningkat 22.9 peratus pada bulan April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette