Home Pendapat Menyoroti ancaman manusia terhadap alam

Menyoroti ancaman manusia terhadap alam

Gangguan yang berlaku pada ekosistem hutan boleh mengakibatkan kesan buruk pada alam sekitar termasuk banjir. Gambar hiasan

KEPENTINGAN ekosistem hutan terhadap alam sekitar memang tidak dapat dinafikan lagi. Selain memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim dunia dan pemanasan global, ekosistem hutan juga sangat penting untuk melindungi negara daripada bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan hakisan.

Tindakan membuka hutan dengan berleluasa secara langsung akan memusnahkan kawasan tadahan air kerana bekalan air yang datang dari sungai adalah berpunca daripada pokok-pokok di hutan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Taman Negara di Malaysia merupakan salah satu
hutan hujan tropika yang tertua di dunia dan telah berusia kira-kira 130 juta tahun. Berdasarkan skala masa geologi, waktu tersebut berada dalam Era Mesozoik (tempoh
Cretaceous) yang pada ketika itu masih didiami oleh haiwan dinosaur.

Ini jelas menunjukkan jasa dan kebaikan yang telah diberi oleh ekosistem hutan kepada kita sejak berjuta-juta tahun yang lampau tidak sepatutnya dipandang dengan sebelah mata, malah hendaklah dihargai dengan cara mengekalkan kewujudan dan kestabilannya untuk generasi akan datang.

Hutan di negara kita sememangnya tidak ternilai harganya. Walaupun telah diwartakan oleh kerajaan sebagai hutan simpan kekal, pembalakan masih berlaku secara berleluasa
terutamanya di negeri Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang.

Apa sahaja alasan yang diberi untuk pembukaan hutan seperti pembalakan, perlombongan, pembinaan kilang dan sebagainya tidak boleh dipertimbangkan sama sekali. Kemusnahan yang berlaku bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekosistem hutan malah ekosistem akuatik lain termasuk sungai dan tasik.

Secara spesifiknya, sekiranya aktiviti perlombongan dijalankan berhampiran dengan ekosistem tasik, akan berlaku pelbagai ancaman ekologi seperti kepupusan haiwan dan tumbuhan di dalam dan berhampiran tasik, berlaku perubahan dalam hidrologi aliran air, pencemaran akibat daripada aliran air tercemar, aliran air lumpur dan kelodak dari lombong, pencemaran bunyi dan pelepasan asap/debu daripada mesin dan jentera berat, gangguan penglihatan dan pelbagai lagi ancaman yang akan memberi kesan kepada hidupan akuatik dan hutan.

Segala kesan buruk ini bukan sahaja dapat dilihat dalam tempoh masa yang singkat malah akan memberi kesan jangka panjang kepada kualiti air di tasik dan sungai seterusnya membawa kepada kepupusan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan.

Oleh itu, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam
memperjuangkan kepentingan ekosistem hutan dan akuatik di negara ini.

Penduduk tempatan dan NGO (badan bukan kerajaan) alam sekitar seharusnya tidak berlengah untuk terus melaporkan kepada pihak berwajib segala kegiatan pembalakan haram yang berlaku di hadapan mereka.

Selain memantau aktiviti pembalakan yang berlesan, pihak berwajib termasuk pihak kerajaan negeri dan pusat hendaklah terus mengambil tindakan pantas dan serius terhadap aduan yang dibuat kerana hanya mereka yang mampu membendung
masalah ini daripada terus berlaku.

Janganlah aktiviti pembukaan hutan dan pembalakan haram itu ‘dihalalkan’ kerana keuntungan wang ringgit semata-mata sehingga sanggup menodai khazanah alam yang tidak ternilai harganya.

Gondolan bukit yang akhirnya menjadi parut di landskap alam pasti menyakitkan mata
sesiapa juga yang memandang. Jangan setelah segalanya musnah seperti nasib malang yang menimpa Air Terjun Tanjung Batu, barulah ianya ditangisi.

Namun, segalanya telah terlewat ibarat pepatah Melayu “sakit menimpa sesal terlambat”.

Dr Azma Hanim Ismail
Pensyarah Kanan Biologi Persekitaran
Pusat Pengajian Sains Kajihayat
Universiti Sains Malaysia (USM)
Pulau Pinang.