Home Pendapat Pelaksanaan pembelajaran dalam talian perlu dikaji semula

Pelaksanaan pembelajaran dalam talian perlu dikaji semula

Gambar hiasan

SELAMA tempoh penularan Covid-19 di negara ini, khususnya bermula Mac 2020 tahun lepas, semua universiti telah memutuskan untuk melaksanaan pembelajaran secara atas talian. Kaedah ini dipilih kerana dianggap paling relevan memandangkan kebanyakkan mahasiswa berada di kampung halaman masing-masing dan bertujuan juga untuk mengelakkan risiko perkumpulan yang meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Walaupun demikian, banyak masalah yang berlaku selama pelaksanaan pembelajaran secara atas talian ini berlangsung. Antara masalah yang paling ketara adalah rungutan dalam kalangan mahasiswa khususnya melibatkan tekanan mental, beban tugasan yang terlalu banyak dan lain-lain lagi.

Saya faham bahawa pembelajaran secara atas talian ini merupakan kaedah yang paling sesuai untuk digunakan buat masa sekarang khususnya dalam konteks masih meningkatnya kes Covid-19 di negara ini. Namun, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti harus menimbang banyak perkara sebelum melaksanakannya.

Mungkin di peringkat awal, pelaksanaan ini dilaksanakan tanpa ada sebarang kajian dan penelitian dilakukan terlebih dahulu masih boleh diterima. Tetapi, sekarang sudah hampir setahun, tidak wajar untuk kita melaksanakan tanpa mengkajinya terlebih dahulu. Tambahan, kita tidak tahu bila Covid-19 yang sedang melanda negara ini benar-benar berjaya disekat penularannya.

Tempoh menghadap skrin gajet untuk tujuan kuliah, struktur dan cara penilaian, kehadiran, dan metod pengajaran harus disesuaikan dengan keadaan semasa. Bagi tempoh kuliah misalnya, adalah wajar untuk dikurangkan tempoh kuliah tersebut bagi memastikan kesihatan mahasiswa (khususnya kesihatan mata) terjaga dan tidak terjejas. Kaedah kuliah boleh dipelbagaikan dengan kreatif oleh pensyarah.

Para pensyarah, mahu tidak mahu, harus menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran secara atas talian ini. Kekurangan kemahiran untuk mendidik dengan cara yang pelbagai khususnya dalam konteks atas talian harus diperbaiki. Ini dapat dilakukan misalnya dengan memberi kursus khas buat para pensayarah dalam pelaksanaan sesi pengajaran secara dalam talian.

Pada saya, pelaksanaan kuliah seperti dalam norma biasa yang mengambil masa sehingga dua jam adalah tidak sesuai. Hal ini kerana mahasiswa perlu menghadap komputer riba dalam tempoh yang lama, tidak seperti dalam kuliah bersemuka. Umum kita mengetahui, menghadap skrin gajet seperti komputer riba dan telefon akan memberi kesan kepada kesihatan mata, malah turut memberi kesan juga kepada tekanan emosi seseorang. Oleh itu, segala hal ini harus dipertimbang dan dikaji semula oleh pihak KPT dan Universiti.

Cadangan saya adalah supaya pihak KPT dan universiti melaksanakan kajian berkaitan pembelajaran secara dalam talian. Dari sini, pihak KPT dan universiti akan mengetahui respon balas mahasiswa berkaitan pembelajaran secara dalam talian yang diamalkan. Selain itu, pihak KPT dan universiti juga boleh melaksanakan townhall secara dalam talian yang melibatkan persatuan mahasiswa atau Majlis Perwakilan Mahasiswa untuk memberi kritikan dan cadangan mengenai pembelajaran secara dalam talian yang akan dilaksanakan.

Pihak KPT dan universiti harus berubah dari cara menetapkan ‘apa yang dirasakan baik’ untuk mahasiswa, tetapi harus berdialog bersama mahasiswa sendiri dan bertanya kepada mereka tentang ‘apa yang mereka fikirkan baik’ untuk diri mereka.

Semoga cadangan ini difikirkan oleh pihak KPT dan universiti. Saya selaku mahasiswa sendiri, turut merasa dampak negatif yang terlahir akibat daripada pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian yang kurang menimbang banyak perkara yang dihadapi mahasiswa.

Saya selaku ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan Presiden Suara Mahasiswa UMS sering mendapat rungutan dalam kalangan mahasiswa. Lebih menyedihkan apabila ada yang memutuskan untuk berhenti pengajian kerana tidak tahan dengan banyak kekangan. KPT dan universiti harus lebih banyak mengambil tahu tentang apa yang sedang dihadapi oleh mahasiswa. Semua ini saya ujarkan bukan untuk memburukkan atau menjatuhkan nama institusi pengajian tinggi, tetapi untuk menyedarkan bahawa wujudnya masalah yang mungkin tidak diketahui oleh pihak yang bertanggungjawab.

Mohd Izzat Dahelan
Presiden Suara Mahasiswa UMS

1 Komen

  1. Ada sebahagian kecil pensyarah tidak menyediakan bahan rujukan atau nota kuliah menyebabkan kesukaran kpd pelajar. Disamping itu juga ada yg menyalahkan pelajar apabila mengambil maklumat dari carian google dgn alasan sama dgn ayat dri google. Ada juga sesetengah pensyarah tidak memberi acces utk link ke server akedemik. Persoalannya kenapa mempersoalkan usaha pelajar tanpa usaha dr pensyarah itu sendiri. Penghantaran perlu ikut masa dan amat mustahil utk dihantar tepat pafa waktunya melalui email.

Comments are closed.