Home Nasional PST seluruh negara akan terus beroperasi sepanjang PKP 3.0 – MAFI

PST seluruh negara akan terus beroperasi sepanjang PKP 3.0 – MAFI

Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

SEREMBAN – Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan kepada masyarakat sekali gus turut menawarkan barangan keperluan kepada pengguna pada harga yang lebih murah dan berpatutan.

Katanya, pelaksanaan PST di beberapa lokasi terpilih yang beroperasi mengikut prosedur operasi standard itu juga dibuat bagi mengatasi masalah lambakan barangan yang dialami peniaga.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 42 PST beroperasi setakat ini di seluruh negara dengan setiap PST mempunyai lapan komoditi teras iaitu sayur, buah, ikan, ayam, daging, produk Industri Kecil dan Sederhana, barangan runcit serta makanan (bungkus bawa pulang).

“MAFI sentiasa mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk pertanian serta industri makanan, “ menurutnya dalam kenyataan sempena lawatan kerja ke PST di sini hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan PKP 3.0 yang dijadualkan sehingga Isnin ini, disambung dua minggu lagi hingga 28 Jun berikutan jumlah kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Mengenai lawatan itu, Che Abdullah berkata, melalui PST di Agrobazaar Sendayan, pengguna digalakkan membeli secara dalam talian melalui Shopee atas nama pekedai Agrobazaar Sendayan bagi menikmati diskaun yang ditawarkan.

Beliau berkata, selain Agrobazaar Sendayan, terdapat tiga lokasi PST di Negeri Sembilan iaitu di Pasar Tani Kekal Paroi, Pasar Tani Kekal Bandar Seri Jempol dan Pusat Operasi FAMA Seremban.

Katanya, MAFI dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab akan terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan mencukupi serta stabil kerana sektor pertanian dan industri makanan diletakkan sebagai perkhidmatan perlu.

Che Abdullah juga berkata, bagi memastikan kelancaran aktiviti pemasaran hasil pertanian semasa tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, pihaknya mewujudkan Bilik Gerakan yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 malam.

“Ini bagi membantu para petani yang menghadapi masalah memasarkan hasil pertanian mereka dengan melayari portal FAMA Feedback System (http://ffs.fama.gov.my/aduan/index.php) atau menghubungi talian hotline FAMA di 019-7476 754/013-3777 100/010-7632 684,” katanya. – Bernama