Home Nasional PTPTN, Universiti Binary meterai kerjasama ringankan beban penuntut

PTPTN, Universiti Binary meterai kerjasama ringankan beban penuntut

PTPTN discount National Higher Education Fund Corporation
PTPTN

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Binary menjalin kerjasama bagi meringankan beban kewangan pelajar dalam kalangan B40 dan M40.

Melalui kerjasama ini, pelajar dalam dua kategori tersebut akan menerima subsidi yuran pengajian dan mendapat kemudahan pinjaman PTPTN apabila melanjutkan pengajian di Universiti Binary bagi kemasukan tahun 2021/2022.

Subsidi yuran pengajian diberikan oleh pihak univerisi tersebut, melalui Geran Pendidikan Prihatin (GPP) MyBinary-PTPTN dengan peruntukan berjumlah RM205 juta secara one-off.

Menerusi peruntukan di bawah GPP MyBinary-PTPTN, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengikuti pengajian asas akan menikmati subsidi sebanyak RM54,600 bagi empat tahun pengajian termasuk pengajian Ijazah Sarjana Muda.

Bagi pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda pula akan menikmati subsidi sebanyak RM40,950 untuk tiga tahun pengajian.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap para pelajar yang memerlukan akan memohon untuk mendapatkan subsidi yuran itu.

“Saya harap para pelajar akan memohon untuk mendapatkan subsidi yuran ini. GPP MyBinary-PTPTN mencerminkan keprihatinan PTPTN dan Universiti Binary  dalam menyokong usaha Kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutamanya yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti Binary atas keprihatinan untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sekali gus menjadi universiti swasta yang wajar dicontohi.

Kerjasama kedua-dua pihak itu terlaksana menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Sementara itu Pengasas universiti berkenaan, Tan Sri Prof. Joseph Adaikalam berkata, pengajian di institusi itu memberi kelebihan untuk para graduan menerusi tiga ekosistem yang unik.

Pertama, semua pelajar Binary dilengkapkan dengan kemahiran indusri spesifik untuk menjadi Industry Specialist Professionals atau graduan ISP melalui Ekosistem ISP, ujarnya.

“Keduanya, melalui Ekosistem BEE atau Binary Entrepreneurial Ecosystem yang terdiri daripada ribuan Usahawan, Binary dapat memupuk sifat keusahawanan dalam semua graduan mahupun yang ingin berkerja atau yang ingin jadi usahawan. Ciri keusahawanan amat penting bagi graduan hari ini sebab majikan mengutamakan pekerja yang berinovasi dan berkreativiti.

“Ekosistem ketiga iaitu BTI pula terdiri daripada ribuan majikan yang sedang cari pekerja (graduan) yang mempunyai kemahiran industri spesifik dengan mindset keusahawanan yang komprehensif serta berfokus. Ini bererti graduan dapat memohon untuk pekerjaan semasa dalam semester akhir tahun

“Pelajar dan majikan tidak perlu membayar apa-apa bayaran untuk perkhidmatan BTI atau Binary Talent International.” katanya.

Tambah beliau, pelajar B40 dan M40 lepasan SPM dan STPM boleh mengemukakan Permohonan Geran Pendidikan Prihatin (GPP) MyBinary-PTPTN mulai 11 Jun 2021 dengan melayari www.binary.edu.my/gpp. – MalaysiaGazette