KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya tewas tipis 1-2 kepada seterus kuatnya dari Asia Tenggara, Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal pagi tadi.
Dalam aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai itu, anak buah Tan Cheng Hoe walaupun kalah, tetap mempamerkan aksi bertenaga dan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit tersebut di atas padang.
Kekalahan itu telah menutup peluang negara untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia Qatar.
Selasa ini mereka akan melengkapkan aksi terakhir Kumpulan G itu dengan berdepan skuad gajah putih, Thailand.
Skuad Cheng Hoe turun dengan misi wajib menang menentang skuad Naga Emas semalam selepas dibelasah 4-0 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.
Vietnam kendalian Park Hang Seo membuka gol pada minit ke-27 apabila sepakan penjuru yang diperolehi mereka berjaya dimasukkan dalam gawang gol Harimau Malaya menerusi tandukan kencang Tien Linh.
Malaysia yang cemas dengan gol tidak dijangka daripada lawan terus mengatur perlawanan sebelum hampir mengikat kedudukannya namun tandukan Syafiq Ahmad pada minit ke-39 tetapi berjaya dihalang oleh penjaga gol Vienam, Bui Tan Truong.
Di separuh masa kedua, Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz Mansor menggantikan Safawi serta Syafiq.
Malaysia membuka gol penyamaan menerusi pemain naturalisasi negara , Guilherme de Paula hasil sepakan penalti pada minit ke-72 selepas dia dikasai Van Hau.
Kegembiraan itu tidak kekal lama apabila seminit kemudian Vietnam membuka gol keduanya.
Kesilapan pemain negara Brendan Gan mengkasari penyerang Vietnam Nguyen Van Toan menyebabkan pengadil perlawanan Ryuji Sato menghadiahkan penalti kepada Vietnam yang menambah jaringan kedua pada minit k-73 menerusi Que Ngoc Hai.
Menerusi kemenangan itu, Vietnam terus mengungguli kumpulan G dengan 17 mata diikuti UAE 15 mata selepas membelasah Indonesia 5-0 pada hari yang sama.-MalaysiaGazette