Home Nasional Kluster tempat kerja bertambah, PKP ikut kehendak MITI adalah strategi salah

Kluster tempat kerja bertambah, PKP ikut kehendak MITI adalah strategi salah

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengubah strategi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh supaya kes harian Covid-19 yang kini sekitar 5,000 kes ke atas turun kepada sekurang-kurangnya dua angka.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, fakta menunjukkan kluster tempat kerja melibatkan 12 daripada 16 kluster semalam.

Angka ini bermakna sekitar 75% daripada kluster harian adalah kluster tempat kerja.

Menurut beliau, ternyata PKP yang dilalui hampir dua minggu ini ada kelompongan dek kerana hampir 120,000 syarikat dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini jelas menunjukkan PKP ‘separuh masak’ mengikut kehendak MITI adalah strategi salah.

Beliau meminta kerajaan berlapang dada dan mendengar rintihan marhaen kerana dijangkakan jutaan rakyat hilang sebulan gaji pada bulan Jun ini, termasuklah ada yang dipotong gaji dan mengikat perut kerana PKP yang dipanjangkan.

PKP masih dipanjangkan dan dijangka terus dipanjangkan kerana situasi Covid-19 masih meruncing kerana strategi PKP yang salah.

Tegas beliau, rakyat yang tidak bersalah terus terkurung, malangnya kapitalis besar terus mengaut keuntungan dengan pembukaan perniagaan mereka dan akhirnya, rakyat yang terus menderita.

Lebih malang lagi, moratorium secara automatik selama tiga bulan buat rakyat M40 dan B40 masih tidak menjadi kenyataan.

Oleh itu, katanya, DPIM merayu Perdana Menteri untuk mempertimbangkan moratorium secara automatik untuk rakyat B40 dan M40, selaras dengan saranan ratusan NGO dan pimpinan parti politik lain, terutamanya Presiden UMNO dan Presiden PKR. – MalaysiaGazette