KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) akan dilancarkan sebagai Fasa 4 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mempercepatkan imunisasi bagi rakyat, sekali gusĀ dapat mempertingkatkan tahap pencapaian imuniti kelompok di dalam komuniti.
Penubuhan Pikas ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Pikas adalah program imunisasi kerjasama awam-swasta yang mensasarkan pekerja, yang MITI dipertangungjawabkan untuk menyelaraskan imunisasi pekerja bagi sektor pembuatan.
Beberapa kementerian lain juga bertanggungjawab untuk vaksinasi pekerja bagi sektor masing-masing, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tambahnya, penyertaan syarikat dan pekerja dalam PIKAS adalah secara sukarela.
Pikas diperkenalkan berikutan cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana untuk membantu Kerajaan menyegerakan imunisasi bagi rakyat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan komited memastikan pekerja mendapat vaksin percuma di bawah Pikas, yang disokong oleh sektor swasta dalam mentadbir pengurusan vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk vaksinasi di premis kilang yang akan melibatkan pengamal perubatan swasta
PIKAS akan bermula pada 16 Jun 2021 dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi perindustrian yang dikenalpasti.
Syarikat dalam subsektor pembuatan kritikal termasuk elektrik dan elektronik, pemprosesan makanan, besi dan keluli, alat perubatan, alat pelindung diri (PPE), minyak dan gas serta produk getah termasuk pembuatan sarung tangan perubatan akan diberikan keutamaan untuk vaksinasi.
Sektor-sektor ini penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting serta pembinaan, penyelenggaraan dan kelancaran infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan sistem penjagaan kesihatan awam.
Susulan beberapa siri sesi libat urus yang dijalankan sebelum ini, MITI akan menjalankan sesi libat urus tambahan dengan persatuan industri dan dewan
perniagaan yang berkaitan untuk mengkoordinasikan program ini.
Setakat ini MITI telah menerima permohonan dari lebih 500 syarikat dengan jumlah pekerja seramai 106,591 untuk menyertai Pikas.
Syarikat pembutan lain yang berminat untuk mengambil bahagian disaran untuk mengemukakan permohonan mereka melalui persatuan industri dan dewan perniagaan sektor masing-masing.
Menuurt MITI, keutamaan vaksinasi syarikat akan ditetapkan mengikut beberapa pertimbangan termasuk lokasi syarikat di zon merah Covid-19 dan syarikat perlu mengikut terma dan syarat yang antaranya memerlukan pekerja berdaftar dengan MySejahtera untuk program PICK.
Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan untuk penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan oleh pihak swasta, termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat yang sama sebelum imunisasi penuh pekerja yan berkenaan.
Kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam keutamaan vaksinasi bagi golongan yang paling memerlukan melalui PICK, namun pelaksanaan Pikas adalah penting bagi melindungi pekerja dari risiko jangkitan. – MalaysiaGazette