Home Nasional Pusat beli-belah jadi PPV perlu kajian mendalam – Zuraida

Pusat beli-belah jadi PPV perlu kajian mendalam – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin beramah ketika sidang media selepas Lawatan Kerja Koordinasi Sukarelawan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah, Kuala Lumpur .Foto HAFIZ SOHAIMI, 12 JUN 2021.

AMPANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengkaji lebih mendalam sebelum mempertimbangkan cadangan menjadikan pusat beli-belah sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keluasan tempat berkenaan perlu diambil kira supaya ia sesuai dijadikan PPV bagi mengelakkan berlaku kesesakan hingga tiada penjarak fizikal

“Mungkin itu satu lagi tempat atau kaedah (pemberian vaksin). Tetapi ia harus kita kaji bagaimana kita nak melaksanakannya.

“Saya beri contoh, kalau nak buat PPV bergerak dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR), kalau kita buat hanya sistem walk-in, ianya akan bercelaru, tidak terurus.

“Kalau nak buat boleh, tetapi ia perlu disusun dan teratur dengan satu perancangan amat terperinci supaya ia boleh dijalankan seperti apa yang kita buat dengan PPV bergerak,” katanya kepada pemberita di PPV di Dewan MPAJ Kg Ampang Indah, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) mencadangkan supaya pusat beli-belah dijadikan sebagai PPV bagi membantu kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut PPKM, lebih 50 pusat beli-belah menunjukkan minat untuk program itu dan perinciannya akan dimuktamadkan nanti. – MalaysiaGazette