AMPANG – Sanitasi awam yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak terhad kepada langkah pencegahan penularan Covid-19 semata-mata.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin sebaliknya menjelaskan kerja-kerja sanitasi awam itu bagi memastikan persekitaran masyarakat bersih dan bebas jangkitan penyakit lain.
“Isu sanitasi awam mungkin ada yang salah faham, bomba menjalankan proses sanitasi awam juga untuk membunuh segala kuman, jadi jangan salah faham, yang kita buat (bukan) untuk hapus kuman Covid-19 sahaja.
“Ia dibuat untuk memastikan persekitaran masyarakat yang bersih untuk masa hadapan jadi ini caranya kita mesti selalu sanitasi kawasan (berisiko),”katanya kepada pemberita di Dewan MBAJ Kg Ampang Indah, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja koordinasi sukarelawan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di situ.
Pada 29 Mei lalu, Ahli Pasukan Bertindak Covid-19 Selangor, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman menyifatkan operasi sanitasi awam secara besar-besaran di 284 lokasi di seluruh negara sebagai satu pembaziran.
Menurut Dr Adeeba, pembaziran itu dapat dilihat daripada bantuan peralatan perlindungan diri (PPE), kanula hidung aliran tinggi (HFNC), alat pengalih udara (ventilator), sat meter oksigen dan makanan untuk sukarelawan.
Sebelum ini juga, Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad menegur Dr Adeeba supaya memberi fokus kepada Selangor yang mencatatkan kes Covid-19 tertinggi setiap hari. – MalaysiaGazette